
Biarpun dunia sedang dikuasai oleh trend SUV, satu perkara yang sukar untuk digugat ialah populariti sedan yang masih utuh di beberapa pasaran.
Menurut kajian terhadap jualan kenderaan global sepanjang 2024, pasaran China menyumbang kepada lebih 50 peratus jualan sedan dunia, dengan jumlah sebanyak 7.89 juta unit.
Ini kerana sedan masih lagi dianggap sebagai satu simbol status dalam kalangan pemandu di China.
Disebabkan itu hampir semua pengeluar automotif China masih lagi menghasilkan sedan, tidak seperti pengeluar dari Amerika dan Eropah.
Menariknya, Malaysia turut tersenarai dalam 10 pasaran teratas untuk segmen sedan sepanjang tahun 2024, di mana sedan menyumbang 36 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan.
Uzbekistan merupakan pasaran nombor satu sedan dunia dengan penguasaan pasaran sebanyak 60 peratus, diikuti Algeria (48 peratus), Mesir (47 peratus), Arab Saudi (46 peratus), Iran (46 peratus), Azerbaijan (41 peratus), Malaysia, diikuti Bahrain, China dan Tajikistan masing-masing mencatatkan 33 peratus.
Toyota masih lagi mendahului sebagai pengeluar utama sedan di dunia, dengan jumlah 1.75 juta unit sepanjang tahun 2024, diikuti BYD (1.51 juta unit), Volkswagen (1.33 juta unit), Nissan (974,000 unit), Honda (938,000 unit), Hyundai (862,000 unit), Mercedes (691,000 unit), BMW (587,000 unit), Tesla (560,000 unit), dan Geely (528,000 unit).