
Sub jenama terbaharu di bawah Chery Group, Lepas rasmi memperkenalkan L8 ke pasaran Indonesia pada acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025.
Nama Lepas merupakan gabungan dari kata “Le” yang merujuk pada Leap (lompatan) dan Leopard (harimau bintang), serta “Pas” yang berasal dari kata Passion (ghairah).
Model tersebut sudah boleh ditempah namun spesifikasi terperinci masih belum didedahkan.
Bahasa rekaan Lepas berasaskan ‘Leopard Aesthetic’ menerusi lampu nyala siang (DRL) yang lebih ‘slim’ mewakili mata Leopard yang kemudian dipadankan dengan rim bersaiz 19-inci.
Penggayaan elegan disempurnakan menerusi garis badan halus dan minimalis manakala lampu utama menegak memberikan identiti visual unik dan moden.
Versi yang dipertontonkan merupakan model pemanduan kiri menerusi kabin dengan dua rona warna. Pada tengah papan pemuka tersedia skrin hiburan besar menegak yang disambungkan terus pada konsol terapung.
Pada konsol tengah terletaknya dua ruang pemegang cawan dan pengecas Qi 50 watt. Kabin Lepas L8 tampil ringkas dengan minimum punat kawalan fizikal.
Kesemua fungsi kawalan dioperasikan menerusi skrin hiburan manakala tombol gear diletakkan pada belakang stereng.
Pada bahagian sisi pintu disematkan material keras dan lembut begitu juga pada papan pemuka.
Menurut wakil jualan Lepas Indonesia, harga rasmi L8 akan diumumkan pada suku keempat tahun ini menerusi model pemasangan tempatan (CKD).
SUV itu memiliki panjang 4,688 mm, lebar (1,860 mm) dan tinggi (1,695 mm) serta jarak roda 2,800 mm. Lepas L8 adalah sekelas dengan Cherry Tiggo 8 di dalam segmen D, bahkan kedua-duanya berkongsi platform yang sama.
Walaupun spesifikasi masih belum diumumkan, kita boleh menjangkakan L8 mungkin berkongsi beberapa teknologi enjin dengan model Chery yang lain.