Jaecoo J5 bakal lancar tahun ini, harga anggaran RM120,000

17

OMODA | JAECOO Malaysia bakal memperkenalkan sebuah SUV kompak baharu untuk pasaran tempatan menerusi model Jaecoo J5, yang dijangka dilancarkan pada tahun ini.

Crossover segmen-B itu dijangka ditawarkan dengan harga anggaran sekitar RM120,000, menjadikannya pesaing baharu dalam kategori SUV kompak yang semakin berkembang.

Dari segi dimensi, Jaecoo J5 hadir dengan ukuran panjang 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm, bersama jarak roda 2,620 mm.

Rekaan luaran tampil bergaya moden dengan elemen praktikal harian serta sentuhan premium, selain dipadankan dengan rim aloi aluminium 18 inci yang dibaluti tayar 235/55 R18, memberikan gaya mantap dan kestabilan di atas jalan raya.

Bahagian kuasa J5 digerakkan oleh enjin 1.5-liter empat silinder turbo, yang menghasilkan 108 kW (147 PS) dengan 210 Nm tork.

Ia turut menggunakan teknologi penyejukan antara bersepadu ambilan udara generasi baharu, bersama kepala silinder pancarongga ekzos bersepadu (IEM).

Gandingan bersama transmisi CVT menjadikan pemanduannya lebih lancar, responsif dan efisien. Dari segi penggunaan bahan api, J5 mencatatkan kadar 7.5L/100 km (WLTC), sesuai untuk pemanduan harian yang menjimatkan.

Masuk ke bahagian kabin, J5 menampilkan suasana dalaman yang tenang namun premium. Ia menawarkan lima tempat duduk dengan kemasan kulit tiruan penuh, selain ruang but berkapasiti 480 liter yang boleh diperluaskan sehingga 1,180 liter apabila kerusi belakang dilipat dengan konfigurasi 60/40.

Menariknya, ruang dalamannya turut direka mesra haiwan peliharaan dengan persijilan TÜV, memberi keyakinan kepada pemilik yang sering membawa keluarga mahupun haiwan kesayangan.

Dari aspek teknologi, Jaecoo J5 hadir dengan skrin sentuh 13.2 inci beresolusi 2K lengkap dengan WiFi dan kawalan berpusat, dipadankan dengan panel instrumen LCD 8 inci serta sistem audio 8 pembesar suara.

Ciri lain yang menyerlah ialah bumbung panorama cahaya bulan berkeluasan 1.45㎡, yang dikatakan terbesar dalam kelasnya, memberikan suasana kabin lebih lapang dan cerah.

Keselamatan pula diperkukuhkan melalui sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.5 dan kamera pandang keliling 540 darjah HD, ciri yang menjadi kelebihan utama jenama OMODA | JAECOO dalam segmen SUV moden.

Dengan gabungan reka bentuk bergaya, kabin luas, teknologi pintar dan ciri keselamatan komprehensif, Jaecoo J5 dilihat sebagai pilihan baharu menarik dalam pasaran SUV kompak Malaysia. Segala butiran lanjut bakal diumumkan pada majlis pelancarannya tidak lama lagi.

Jika mahu melihat kenderaan ini lebih dekat, anda boleh datang ke Karnival OMODA I JAECOO di Desa ParkCity pada 21 sehingga 24 Ogos ini.

Keterangan lanjut tentang karnival ini, boleh baca di pautan artikel di bawah:

>> 3 perkara menarik menanti rakyat Malaysia hujung bulan ini

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here