
Bugatti Tourbillon merupakan penawaran terbaharu daripada pengeluar automotif dari negara Perancis.
Hypercar ini dilengkapi dengan enjin Cosworth bentangan V16 8.4 liter NA yang dipadankan dengan tiga motor elektrik, menghasilkan output 1,800 PS dan 1,985 Nm.
Hanya 250 unit sahaja Tourbillon yang akan dihasilkan. Semua sudah habis dijual.
Melihatkan kepada kapasiti produksi semasa Bugatti, ini bermakna pembeli berpotensi perlu menunggu tempoh masa sehingga 2029 untuk mendapatkan model baharu jenama tersebut.
Menurut pengarah rekaan Bugatti, Frank Heyl memberitahu CarBuzz, disebabkan terlalu banyak tempahan, ia memudahkan jenama itu untuk merancang model baharu lebih awal.
Jelasnya, dengan menamatkan produksi Bolide dan memulakan proses pembinaan Tourbillon akan membuatkan Bugatti kekal sibuk untuk tempoh empat tahun akan datang.
Dalam masa tersebut, Bugatti sudah pasti mempunyai masa yang mencukupi untuk memikirkan model baharu selepas Tourbillon yang memiliki tag harga bermula $4 juta itu (RM16.9 juta).
Jika anda tidak sabar menunggu, boleh sahaja melawat mana-mana laman jual beli dalam talian untuk mendapatkan sebuah Bugatti terpakai, seperti contoh Bugatti Veyron.