
Peralihan industri kepada kenderaan dengan sistem pacuan elektrik tidaklah semudah yang disangka, ada yang masih lagi kurang percaya EV mampu menggantikan kenderaan konvensional.
Melihatkan kepada perkembangan semasa, Ford tidak merancang untuk membina model Mustang berkuasa elektrik dalam masa terdekat.
Menurut laporan Automotive News, Ford akan mengekalkan Mustang dengan enjin pembakaran dalaman sehingga tahun 2030-an.
Laporan itu tidak menyebut secara spesifik bilakah Ford akan muncul dengan Mustang EV.
Malah pada tahun lepas, CEO Ford Jim Farley pernah menyebut, “Satu perkara yang saya boleh janji, kami tidak akan menghasilkan Mustang berkuasa elektrik.”
Beliau juga seboleh-bolehnya mahu mengekalkan enjin V8 selama mungkin “selagi Tuhan dan ahli politik membenarkan kami,” namun ia tidak bermakna Ford tidak akan menambah bantuan elektrifikasi pada model Mustang.
CEO itu turut berkata, Ford sedang menguji sistem rangkaian kuasa dengan bantuan elektrik, dan percaya sistem itu akan dapat membantu Mustang dari segi prestasi dan kecekapan.
Apa pun perancangan yang bakal dilaksanakan, Ford perlu mengambil iktibar daripada Dodge, di mana syarikat pesaing itu berdepan dengan kesukaran untuk menjual model Charger berkuasa elektrik.
Sebabnya mudah: pelanggan dan peminat masih mahukan sebuah kereta muscle dengan enjin pembakaran dalaman yang sebenar, bukannya motor elektrik yang dipadankan dengan sistem pembesar suara Bluetooth!