KLIA lapangan terbang kedua tersibuk di Asia Tenggara

10

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk di Asia Tenggara, menurut data terbaharu OAG Aviation, penyedia analisis perjalanan global yang berpusat di United Kingdom.

Sehingga September ini, KLIA mencatatkan 3.32 juta tempahan tempat duduk iaitu peningkatan sebanyak 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Pengarah Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Narentheren Kaliappen berkata, pencapaian KLIA itu lebih daripada sekadar statistik kerana ia mencerminkan pemulihan dan pertumbuhan menyeluruh Malaysia sejak pandemik.

“Aliran trafik penumpang di KLIA menggambarkan peningkatan kemasukan pelancong ke Malaysia sekali gus menunjukkan momentum yang kukuh dan tahap keyakinan yang semakin meningkat.

“Syarikat penerbangan kini memperluaskan laluan mereka melalui Malaysia dan semakin banyak pelancong memilih KLIA bukan sahaja sebagai tempat transit tetapi juga sebagai hab destinasi,” katanya kepada Bernama.

Tambah beliau, Malaysia merekodkan kira-kira 27 juta pelawat antarabangsa pada 2024 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 31 juta tahun ini iaitu peningkatan 15 peratus.

Beliau berkata, pertumbuhan itu meletakkan asas kukuh kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) oleh kerajaan yang menyasarkan kedatangan 45 juta pelawat dan pulangan sebanyak RM270 bilion.

Sementara itu, Lapangan Terbang Changi, Singapura mendahului senarai di rantau ini dengan 3.58 juta tempahan tempat duduk manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia berada di tempat ketiga.

Lapangan Terbang Changi di Singapura kekal menjadi penanda aras utama dengan pengendalian kira-kira 69 juta penumpang pada tahun lepas.

Namun, KLIA semakin merapati jurang tersebut dengan kira-kira 57 juta penumpang manakala Lapangan Terbang Soekarno-Hatta Airport, Jakarta juga kekal antara yang tersibuk dengan kira-kira 49 hingga 55 juta penumpang setahun.

Narentheren juga berkata, prestasi KLIA secara langsung menyokong cita-cita ekonomi Malaysia, dengan pulangan pelancongan dijangka mencecah RM125.5 bilion pada 2025.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here