Kastam rampas 32 kenderaan bernilai RM8.45 juta

36

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita 32 unit kenderaan pelbagai model yang tidak berkastam bernilai RM8.45 juta sekitar Lembah Klang.

Pemeriksaan awal mendapati pemilik gudang berlesen tersebut gagal mematuhi syarat-syarat lesen di bawah Seksyen 65 (2) dan Seksyen 65 (5) Akta Kastam 1967 dengan menyimpan kenderaan melebihi tempoh 48 bulan yang ditetapkan.

Menurut Pengarah JKDM WPKL, Wan Norizan Wan Daud, nilai sitaan kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM3,075,500 manakala anggaran jumlah duti import dan cukai yang terlibat sebanyak RM5,376,627. 

“Menerusi Ops Purple pihak penguatkuasaan telah menyerbu dua gudang berlesen secara berasingan di sebuah gudang di Seksyen 85A, Jalan Pahang, Setapak dan Sungai Penchala.

“Kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang mana menyimpan atau memiliki apa-apa barang tidak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 (yang mana lebih besar) dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih besar).

“Atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.  

Di samping itu, Wan Norizan menyatakan sepanjang tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos lalu, pihaknya merekodkan sebanyak 353 kes dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM72.12 juta.

Rampasan itu melibatkan komoditi rokok putih dan kretek dengan 159 kes; bir dan liquor (77 kes); besi import tanpa permit (10 kes); bunga ganja (35 kes); dron tanpa permit import serta lain-lain.

Beliau menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak melibatkan diri dengan aktiviti tersebut.

Jelasnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM meminta orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” ujarnya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here