
Polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes 20 penunggang motosikal yang bertindak ganas mengepung, menumbuk dan menendang Perodua Myvi berhampiran Plaza Tol Batu 13, Shah Alam pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kesemua individu berusia 17 hingga 21 tahun itu ditahan di Puchong dan Shah Alam.
“Kita turut merampas tiga buah motosikal, kesemua individu itu akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, media tempatan melaporkan polis memburu 20 penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam insiden itu.
Dalam kejadian berkenaan, pemandu kereta yang merupakan seorang pengawal keselamatan tampil membuat laporan polis kira-kira jam 4 pagi itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.