Kamera AwAS Terowong Menora rekod 3,000 saman sehari

563

Walaupun kerajaan menawarkan kadar raya RM150 sejak awal tahun, masih ada pesalah trafik yang liat membayar saman tertunggak hingga tempoh 15 tahun lalu. 

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sehingga kini hampir 2 juta notis saman masih belum diselesaikan melibatkan tiga kategori utama iaitu memandu melebihi had laju yang dikesan melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) sebanyak 1.45 juta saman, Notis Temu Siasat 114 (296,684) dan Notis Saman Tampal 115 (164,598).

Menurutnya, saman tertunggak itu juga melibatkan kesalahan kamera AWAS di lokasi panas utama Terowong Menora, Perak yang mencatat lebih 3,000 saman sehari ketika musim cuti dan perayaan.

“Kesalahan paling lama yang masih ada tunggakan adalah sejak tahun 2010, khususnya bagi notis 114 dan 115.

“Kami dapat kesan alamat tempat tinggal pesalah tetapi mereka ini tetap tidak ada kesedaran untuk membayar saman,” katanya.

Menurutnya, sejak tawaran khas diperkenalkan bermula 1 Januari lalu, sebanyak 855,300 saman tertunggak diselesaikan pesalah trafik.

Tegasnya, tawaran tersebut sah sehingga 31 Disember ini. Selepas tempoh itu, pesalah akan dikenakan kompaun asal RM300, pemotongan mata demerit melalui Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dan disenarai hitam sehingga bayaran dibuat.

“Kerajaan memberi peluang bayar dengan diskaun, malah dikecualikan daripada pemotongan mata Kejara, jadi segeralah selesaikan saman tertunggak,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa Selangor, Perak dan Johor merupakan negeri yang merekodkan jumlah saman AWAS tertinggi, sejajar dengan jumlah kamera penguatkuasaan yang dipasang di lokasi strategik.

Setakat ini, terdapat 49 kamera AWAS aktif di seluruh negara yang berfungsi mengesan kesalahan had laju dan lampu isyarat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here