
Bekalan petrol RON95 dan minyak masak paket bersubsidi di Selatan Thailand termasuk di pekan Sungai Golok tidak pernah terputus selain boleh diperoleh dengan jumlah yang banyak tanpa had.
Situasi itu sekali gus menyaksikan penyeludupan melibatkan barangan bersubsidi itu sentiasa berlaku walaupun kawalan di sempadan sentiasa dipertingkatkan.
Situasi itu jauh berbeza jika di bandingkan dengan Malaysia khususnya membabitkan minyak masak apabila had pembelian hanya dibenarkan dua paket setiap orang.
Tinjauan Berita Harian di pekan Sungai Golok boleh dikatakan berlambak ‘stesen minyak petrol Malaysia’ wujud di bahu jalan sehingga ke Pattani.

Harga petrol yang dijual adalah sekitar RM3.30 hingga RM3.60 bagi satu liter manakala RM31 hingga RM33 bagi 10 liter.
Harga rasmi RON95 di Thailand ialah minimum RM4.50 seliter.
Bekalan petrol itu dilihat laris di sepanjang jalan dengan ada pelanggan terdiri daripada kenderaan Malaysia memandangkan harga petrol di negara itu lebih mahal.
Peniaga yang dikenali sebagai Yahya mendakwa, bekalan petrol tersebut tidak pernah terputus berikutan sentiasa ada orang tengah yang menawarkan bekalan petrol dari Malaysia itu.
Katanya, bekalan itu dibawa masuk melalui pangkalan haram selain Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dengan menggunakan kenderaan Malaysia yang diisi secara berulang.
“Tiada masalah walaupun Malaysia kini mengehadkan pembelian minyak kerana harga RM2.60 masih jauh murah berbanding harga minyak petrol di sini lebih RM4 bagi satu liter,” katanya.
ARTIKEL LAIN
Petrol bersubsidi Malaysia masih dijual berleluasa di Thailand































