
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai pemandu lori sampah yang terbabas sebelum merempuh tembok konkrit di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Subang Jaya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pemandu dipercayai lelaki warga asing itu bertindak melarikan diri sejurus kemalangan berlaku meninggalkan kelindan yang cedera.
Menurutnya, lori sampah jenis Isuzu berkenaan datang dari arah Putrajaya ke arah Bukit Puchong hilang kawalan sejurus tiba di lokasi kejadian kira-kira 2.30 petang.
“Apabila menghampiri Plaza Tol Puchong Selatan, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok plaza tol berkenaan.
“Kelindan iaitu seorang lelaki Bangladesh berusia 42 tahun, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka manakala pemandu melarikan diri,” katanya.
Tambah beliau, usaha mengesan pemandu sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1982.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 0173012621 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Terdahulu tular di media sosial satu klip video berdurasi 30 saat memaparkan sebuah lori sampah bergerak dari lorong paling kiri lalu ke kanan sebelum merempuh tembok konkrit di tengah-tengah sebuah plaza tol.
ARTIKEL LAIN