
Tindakan berani seorang pemandu lori simen melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir dengan penahanan di kawasan semak berhampiran Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar selepas dikejar lebih 150km dari Hulu Selangor pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, suspek berusia 52 tahun itu ditahan selepas enggan berhenti walaupun dikejar beberapa pasukan peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Kampar dan Perak Tengah.
Menurutnya, kejadian bermula apabila pihak polis menerima maklumat berhubung sebuah lori simen yang enggan berhenti daripada pemeriksaan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara.
“Setibanya di Tol Gopeng, pasukan MPV Kampar cuba menutup laluan menggunakan penghadang air (water barrier), namun lori itu melanggar palang tol dan terus memandu laju menuju ke Kampar,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata, ketika melalui Bandar Baru Kampar, pemandu bertindak agresif dengan menghimpit kenderaan polis dan memandu melawan arus, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Arahan berhenti telah diberikan berulang kali, tetapi tidak diendahkan. Suspek terus memandu kenderaannya hingga ke Gopeng dan Tanjung Tualang.
“Anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan lori di Jalan Ipoh-Kampar bagi mengurangkan risiko kecederaan kepada orang awam,” ujarnya.
Namun, suspek tetap meneruskan pemanduan dalam keadaan tayar hadapan pecah dan bertindak agresif dengan menghimpit kenderaan pasukan yang cuba memintas.
Jelasnya, suspek kemudian membuat pusingan U dihadapan UTP dan dengan bantuan IPD Perak Tengah, lori tersebut berjaya ditahan di kawasan semak bersebelahan kawasan universiti.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan mempunyai 13 rekod lampau melibatkan dua kes jenayah dan 11 kes narkotik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.