KPDN siasat dakwaan kuantiti, kualiti RON95 meragukan

128
Gambar hiasan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyiasat dakwaan di media sosial berkaitan pengguna yang menerima kuantiti dan kualiti minyak RON95 diragui dalam program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata susulan dakwaan itu, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali mengarahkan untuk mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi memastikan isu tersebut dapat disiasat dengan telus supaya hak pengguna terus dilindungi.

Menurutnya, sehingga kini KPDN telah menerima enam aduan berkaitan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95, namun tiada aduan rasmi diterima berkaitan isu kualiti rendah.

“Sehubungan itu, pegawai penguatkuasa KPDN telah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95.

“Tindakan dilaksanakan termasuk pemeriksaan ke atas pam minyak dan semakan rekod jualan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan, pelaksanaan program BUDI95 tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna.

Namun, jelasnya pemeriksaan berterusan akan diadakan termasuk pengambilan sampel secara rawak dan pengujian ketepatan sukatan.

Dalam masa sama, Azman menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

Syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM250,000 manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya tidak melebihi RM500,000.

“Bagi kesalahan individu, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, KPDN menggalakkan orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berhubung isu ini untuk menyalurkan laporan rasmi.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here