
Pengecualian pemberian subsidi RON95 kepada golongan berpendapatan tinggi (T15) hanya boleh dilaksanakan selepas sistem Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang kini diguna pakai kerajaan, dinaik taraf menjadi lebih mantap.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melihat pengecualian itu boleh dilaksanakan kepada mereka yang benar-benar berpendapatan tinggi ataupun menggunakan kenderaan mewah.
“Buat masa ini kerajaan meneruskan dahulu pelaksanaan program BUDI95 dengan sistem sedia ada.
“Kalau ada keperluan di masa akan datang, yang mana sistem itu lebih mantap, maka kita boleh kenakan tetapi bagi yang benar-benar tinggi ataupun kenderaan mewah,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai keputusan kerajaan melaksanakan BUDI95 yang memanfaatkan semua waarganegara termasuk golongan T15.
Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan dapat berjimat kira-kira RM2.5 bilion menerusi pelaksanaan BUDI95.
“Ada yang mengatakan bahawa ini lebih rendah daripada yang disasarkan pada peringkat awal mengikut kajian Bank Dunia.
“Saya tidak setuju sebab kita lihat penyelesaian subsidi dari keseluruhan.
“Dari (penyasaran) diesel, kita dapat selamatkan RM5 bilion. Jumlah itu kerana sistem lama (digunakan) terlalu banyak penyeludupan dan ketirisan,” jelasnya.
































