
Di acara pameran EICMA 2025 yang berlangsung di Itali pada ketika ini, Honda mengambil kesempatan mendedahkan model sport-tourer terbaharu CB1000GT.
Jentera baharu ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1,000 cc dengan sistem suntikan bahan api (FI) dan pendikit ride-by-wire (TBW) menawrakan karakteristik output berkuasa yang lebih lancar dan dalam masa yang sama menyumbang kepada keselesaan tunggangan jarak jauh.
Casis CB1000GT menggunakan asas daripada kerangka keluli CB1000 Hornet, namun seksyen tempat duduk telah direka semula untuk lebih kestabilan selain mengambil kira aspek penumpang dan muatan barang.
Suspensi pula menggunakan tetapan elektronik EERA (Electronically Equipped Ride Ajustment) sebagai kelengkapan standard yang akan mengesan data berdasarkan unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi, data daripada ECU enjin dan kelajuan putaran roda untuk mengoptimumkan daya redaman yang sepatutnya.
Selain itu, CB1000GT dilengkapi dengan empat mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain dan Tour.
Antara ciri standard lain termasuklah quickshifter, serta sokongan sambungan kepada aplikasi Honda RoadSync untuk fungsi bebas tangan seperti navigasi dan panggilan suara.
Dari segi penggayaan, boleh dilihat CB1000GT cuba membawakan imej grand touring yang agresif, disumbangkan dengan panel yang tajam, serta skrin penghadang angin boleh laras (sehingga 81 mm).
Akhir sekali, pelbagai jenis aksesori yang boleh dipadankan pada CB1000GT sebagai pelengkap seperti top case, kotak pannier sisi, penghadang angin yang lebih tinggi serta pelana yang lebih selesa.
Honda CB1000GT akan dijual di pasaran Eropah, Jepun, Asia dan juga Oceania.


































