Nissan jual bangunan Ibu Pejabat Yokohama pada harga RM3 bilion

20

Nissan Motor Co pada Khamis mengumumkan akan menjual bangunan ibu pejabatnya di Yokohama pada harga JPY 97 bilion (RM3 bilion), sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan syarikat.

Nissan akan menyewa semula bangunan tersebut dan terus menggunakannya sebagai ibu pejabat, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pengeluar kenderaan itu akan merekodkan keuntungan jualan JPY 73.9 bilion (RM2.40 bilion) kepada pengendali hartanah berpangkalan di Tokyo, MJI Godo Kaisha.

Dana yang diperoleh akan digunakan untuk memodenkan sistem dalaman di ibu pejabat, mempercepatkan penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) dan pemodenan digital dalam pelbagai operasi, menurut Nissan yang mengeluarkan model subkompak March dan model mewah Infiniti.

MJI Godo adalah entiti yang bertanggungjawab memegang dan menguruskan aset yang dimiliki oleh Minth Group, sebuah pengeluar alat ganti kenderaan yang mana sahamnya disenaraikan di Hong Kong.

Bagaimanapun, kos perjanjian pajakan tersebut tidak didedahkan.

Strategi untuk Kembali Untung

Nissan bergelut untuk kembali meraih keuntungan selepas mencatatkan kerugian besar sebanyak JPY 670.9 bilion (RM 21.84 bilion) untuk tahun fiskal berakhir Mac lalu.

Syarikat itu telah menjanjikan pemulihan di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Ivan Espinosa yang mempunyai dua dekad pengalaman di Nissan. 

“Langkah ini mencerminkan pendekatan berdisiplin terhadap kecekapan modal, membuka nilai daripada aset bukan teras untuk menyokong transformasi semasa tahun-tahun yang mencabar,” kata syarikat itu. 

Nissan menambah bahawa langkah itu mencerminkan strategi syarikat untuk berinovasi, kekal berdaya saing, dan giat menjalankan penyelidikan untuk pertumbuhan masa depan.

Sebelum ini, Nissan telah mengumumkan pengurangan 15 peratus tenaga kerja global atau kira-kira 20,000 pekerja. Syarikat itu juga dalam proses menutup kilang utamanya di Oppama, Wilayah Kanagawa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here