
Masih ingat pada trak elektrik Kelas 8 Tesla Semi?
Diperkenalkan sejak tahun 2017 dan hanya mula diproduksikan pada tahun 2022, Tesla Semi akan mengalami perubahan berskala penuh.
Perkara tersebut diumumkan semasa sidang mesyuarat ahli lembaga pemegang saham Tesla yang dianjurkan baru-baru ini.
Antaranya perubahan yang bakal dibawakan pada Tesla Semi ialah kadar penggunaan tenaga dikatakan 15 peratus lebih baik berbanding model Semi sedia ada, ditambah dengan keupayaan untuk bergerak sejauh lebih 800 km untuk sekali cas penuh.
Tesla Semi turut menyokong pengecasan sehingga 1.2 MW (1,200 kW) yang membolehkan hentian pengecasan yang lebih singkat.
Secara visual, trak Tesla Semi kini menggunakan elemen rekaan yang sama pada Model Y, dengan bar lampu LED melintang penuh, panel badan dan bumbung yang direka semula untuk aliran aerodinamik yang lebih baik.
Tesla juga meningkatkan had muatan beban yang boleh dibawa oleh Semi.
Tesla Semi mampu menjana kuasa setinggi 800 kW (1,073 hp), namun ia telah diberikan penambahbaikan terhadap sistem penyejukan, perisian dan pengurusan haba unit pacuan untuk prestasi yang konsisten.

































