
Jenama suspensi terkemuka Öhlins baru-baru ini mengumumkan perubahan terhadap identiti jenama serta logo baharu yang bakal digunakan pada masa akan datang.
Ini merupakan sebahagian daripada perancangan jenama itu untuk menjadi lebih daripada sekadar pembekal komponen kepada penyedia penyelesaian bersepadu.
Langkah ini diambil dalam tempoh masa hampir setahun selepas Öhlins diambil alih oleh Brembo Group pada Januari 2025.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Öhlins menjelaskan pihaknya akan memanfaatkan inovasi terkini dalam suspensi adaptif pintar dan integrasi sistem yang mampu menawarkan keseronokan sukan permotoran dalam masa yang sama menambah baik aspek prestasi, keselamatan, keselesaan dan kawalan.
Öhlins turut memperkenalkan dua elemen baharu dalam identiti visual mereka, iaitu logo yang direka semula dan simbol baharu.
Logo yang direka semula itu mengetengahkan kesederhanaan reka bentuk Scandinavia yang diperhalusi dengan sentuhan teknologi.
Dalam masa yang sama, ia masih mengekalkan rupa taip nostalgia Öhlins.
Sementara simbol baharu jenama Öhlins pula menampilkan sentuhan baharu terhadap logo Ö Öhlins yang ikonik.
Ia kini menampilkan dua anak panah membentuk sebuah berlian yang menggambarkan produk-produk generasi baharu Öhlins dalam masa yang sama mengukuhkan ciri jenama tersebut.


































