
Seorang lelaki yang baru keluar penjara dua bulan lalu atas kesalahan jenayah, ditahan semula selepas terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan dan curi kabel milik syarikat telekomunikasi di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Kucai itu ditahan bersama tiga rakannya berusia antara 21 hingga 25 tahun dalam tiga serbuan berasingan dalam Op Lejang yang dilakukan sejak bulan lalu.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, suspek yang memiliki 10 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah bersama rakannya dikatakan mempunyai kemahiran mencuri kenderaan dengan hanya mengambil masa kira-kira lima minit menggunakan ‘allen key’.

“Kenderaan yang disasarkan adalah jenis lama iaitu Proton Wira dan kereta curi itu akan digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah itu.
“Kumpulan ini membawa peralatan khas seperti ‘t- handle’ dan ‘allen key’ yang diubah suai untuk memudahkan aktiviti mencuri dan melarikan kenderaan di kawasan sunyi.
“Selain mencuri kenderaan, mereka turut mencuri kabel dengan menyamar sebagai pekerja syarikat telekomunikasi dan melakukan kegiatan itu antara jam 8 malam hingga 2 pagi,” katanya.

Beliau berkata, menerusi tangkapan itu, polis merampas tiga kereta Proton Wira, sebuah van, dua batang allen key, satu unit t-handle, sebuah papan tanda oren, dua vest pantulan cahaya, tiga topi keselamatan, sebuah alat pemotong kabel dan 10 kabel yang dipotong dianggarkan kerugian bernilai RM11,000.
Kesemua suspek yang berasal dari Sungai Petani ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan
Hanyan berkata, pihaknya masih mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.
Jelasnya, kesemua suspek akan diserahkan ke balai polis berhampiran daerah ini kerana mereka disyaki turut terbabit melakukan kegiatan itu di daerah Kulim, Yan, Pendang dan Seberang Perai Utara (SPU) di Pulau Pinang.































