
Takut ditangkap khalwat menjadi punca sepasang kekasih bertindak melarikan diri sehingga melanggar kenderaan polis dalam kejadian di Senawang, Isnin lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an telah pun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.
“Lelaki bekerja sebagai juruteknik manakala wanita merupakan operator kilang telah didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.

“Dalam soal siasat dilakukan sebelum ini, kedua-duanya takut ditangkap khalwat kerana duduk berdua-duaan di kawasan sunyi,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 pagi ketika anggota polis sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut dan ternampak sebuah Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Ketika anggota menghampiri kenderaan berkenaan, pemandu tidak memberi kerjasama dan mengundurkan kereta lalu melanggar MPV polis sebelum memecut melarikan diri.
Polis kemudian mengejar kenderaan suspek dari Jalan Senawang menuju ke susur keluar ke Seremban berhampiran jejambat Lebuhraya Lekas, Senawang, sebelum kereta terbabit terbabas dan melanggar tembok.
Kedua-dua mereka telah ditahan di lokasi namun tiada barang larangan ditemui.






























