
Geely Auto mengumumkan SUV hibrid plug-in (PHEV) global pertama syarikat iaitu Geely STARRAY EM-i berjaya menerima penarafan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP).
Pencapaian ini merupakan anugerah lima bintang yang kedua bagi barisan produk Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) Geely.
Markah Ujian Keselamatan
Berikut markah Geely STARRAY EM-i (Model yang Diuji: Geely STARRAY EM-i Comfort, LHD) dalam setiap kategori:
- Perlindungan Penumpang Dewasa: 90%
- Perlindungan Penumpang Kanak-kanak: 87%
- Perlindungan Pengguna Jalan Raya Terdedah: 86%
- Bantuan Keselamatan Aktif: 77%
Inovasi Keselamatan Platform GEA
Geely STARRAY EM-i dibangunkan dari pelantar Senibina Elektrik Pintar Global (GEA – Global Intelligent Electric Architecture).
Pelantar ini didatangkan dengan tiga inovasi keselamatan seperti komponen diasingkan secara fizikal, struktur perlindungan yang khusus dan susunan komponen yang bertingkat.
- Pengasingan Fizikal: Direka dengan saluran khas untuk mengasingkan sepenuhnya tangki bahan api dan sistem bateri daripada komponen bahan api, gas dan elektrik. Jarak kelegaan selamat 140 mm turut memastikan tangki bahan api tidak mudah rosak dalam impak hadapan atau belakang.
- Perlindungan Struktur Khas: Perlindungan melalui rangka khas 6 mendatar dan 4 menegak, bersama enam lingkaran perlindungan 360 darjah di sekeliling tangki bahan api. Ini membentuk perlindungan struktur yang kukuh, memastikan laluan beban (load-path) perlindungan berterusan untuk tangki bahan api dan pek bateri.
- Susun Atur Bertingkat: Reka bentuk keselamatan bawah badan bertingkat, digabungkan dengan rasuk anti-calar berkekuatan tinggi yang diletakkan 10 mm di bawah bateri, meningkatkan lagi keselamatan pasif.
Sistem Bantuan Pemanduan Aktif (ADAS)
Dari segi keselamatan aktif, Geely STARRAY EM-i dilengkapi 14 ciri ADAS Tahap L2.
Sistem ini mengintegrasikan fungsi seperti Brek Kecemasan Automatik (AEB), Kawalan Jelajah Pintar (ICC) dan Pengesanan Titik Buta (BSD).
Sistem-sistem ini bekerjasama untuk mengesan persekitaran pemanduan, meramalkan bahaya, dan menawarkan perlindungan aktif bertingkat merangkumi semua senario.
Perkembangan Global
Geely STARRAY EM-i telah dilancarkan di lebih daripada 10 buah negara, termasuk Australia, Itali, Poland, Greece, Mexico, Afrika Selatan dan Indonesia.
Geely merancang untuk mempercepatkan lagi pengembangan global pada tahun 2026, menyasarkan pasaran utama seperti Jerman, Perancis, United Kingdom, dan Brazil.
Pasaran Malaysia
Geely STARRAY EM-i yang merupakan versi e.MAS 7 PHEV telah pun dipertontonkan kepada umum dalam bentuk pelekat samaran sebelum diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2026.
Meskipun STARRAY EM-i menerima penarafan lima bintang Euro NCAP, ujian yang terlibat adalah khusus untuk model pasaran Eropah.
Pengguna di Malaysia perlu menantikan hasil ujian ASEAN NCAP untuk pengesahan keselamatan model yang dipasarkan di rantau ini.
Sebagai rujukan, Proton e.MAS 7 telah pun menjalani ujian keselamatan ASEAN NCAP pada November 2024 dan berjaya menerima skor 5 bintang dengan markah keseluruhan 92.57.






























