Toyota Gazoo Racing kembali kepada Gazoo Racing dan sejarah penting yang perlu anda tahu

27

Toyota Gazoo Racing (TGR) secara rasmi mengumumkan penukaran semula nama pasukan kepada Gazoo Racing berkuat kuasa 7 Januari 2026.

Langkah ini merupakan usaha untuk kembali kepada prinsip asal penubuhannya bagi memperkukuh proses pembuatan kereta yang lebih baik melalui pengalaman sukan bermotor serta memfokuskan kepada pembangunan bakat dalam organisasi tersebut.

Di bawah struktur baharu ini, Gazoo Racing (GR) akan menumpukan penyertaan dalam kategori utama sukan bermotor dunia seperti Kejohanan Rali Dunia (WRC) serta aktiviti sukan bermotor pelanggan menggunakan jentera GR Yaris Rally2 dan GR Supra GT4.

Selain Gazoo Racing, Toyota juga mengumumkan pangkalan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta anak syarikat di Eropah, iaitu TOYOTA GAZOO Racing Europe GmbH (Cologne, Jerman), kini secara rasmi bertukar nama kepada TOYOTA RACING GmbH.

Entiti ini akan terus menyokong aktiviti GR, termasuk membekalkan enjin untuk kereta rali dan menghasilkan jentera GT4.

Secara keseluruhannya, Toyota akan terus mempromosikan aktiviti sukan bermotor menggunakan kenderaan produksi bagi mengasah kemampuan kereta dan manusia dalam persekitaran persaingan yang sengit.

Sejarah Penubuhan Dan Cabaran Team GAZOO

Sejarah Gazoo Racing bermula pada tahun 2007 menerusi inisiatif Akio Toyoda yang ketika itu memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif.

Beliau menyertai perlumbaan ketahanan (endurance) Nürburgring 24 Jam bersama mentor pemanduannya, Master Driver Hiromu Naruse serta beberapa rakan sekerja yang lain.

Pada waktu tersebut, penyertaan ini tidak diiktiraf sebagai aktiviti rasmi syarikat oleh Toyota Motor Corporation (TMC).

Kesannya, pasukan tersebut tidak dibenarkan menggunakan nama TOYOTA dan terpaksa bertanding menggunakan nama Team GAZOO.

Akio Toyoda juga terpaksa menggunakan nama samaran Morizo sebagai identiti pemandu kerana rancangan beliau untuk berlumba tidak mendapat sokongan penuh daripada pihak syarikat.

Walaupun berjaya menamatkan perlumbaan, pencapaian tersebut datang bersama rasa rendah diri yang mendalam.

Ketika pengeluar lain, terutamanya dari Eropah menggunakan kereta yang dalam fasa pembangunan di litar tersebut, Toyota tidak mempunyai jentera sedemikian, malah tiada sebarang kereta sport dalam barisan jualan mereka.

Toyota berada pada tahap hampir kehilangan keupayaan untuk mewariskan kemahiran dan kepakaran pembuatan kereta.

Apabila dipintas oleh jentera pembangunan pesaing di litar, Akio Toyoda seolah-olah mendengar kata-kata sinis bahawa Toyota tidak akan mampu membina kereta seperti itu.

Rasa rendah diri atau hina tersebut masih lagi segar dalam ingatan beliau sehingga hari ini.

Kebangkitan Melalui Projek LFA Dan Siri GR

Menyedari krisis yang dihadapi, Akio Toyoda memulakan pembangunan Lexus LFA dengan memilih litar Nürburgring sebagai lokasi pembangunan utama.

Dilancarkan pada tahun 2010, LFA merupakan kereta sport tulen pertama yang dibina sepenuhnya oleh Toyota dalam tempoh kira-kira 20 tahun sejak model sport terakhir mereka.

Projek ini berdepan kesukaran kerana dianggap tidak menguntungkan oleh sesetengah pihak dalam syarikat, namun pembangunan dibenarkan dengan syarat hanya 500 unit sahaja dijual.

Sejarah ini turut dilingkari peristiwa hiba apabila Hiromu Naruse meninggal dunia dalam satu kemalangan berhampiran Nürburgring sejurus sebelum pelancaran LFA.

Tragedi tersebut berlaku tidak lama selepas pembangunan LFA selesai sepenuhnya dan Naruse, selaku master driver, telah memberikan kelulusan terakhir beliau dengan berkata, mari kita teruskan dengan ini.

Bagi Akio Toyoda, kehilangan mengejut mentor pemanduan dan master driver TMC itu membawa rasa kehilangan yang amat besar.

Walau bagaimanapun, beliau tetap teguh dengan keyakinannya bahawa kereta dan bakat manusia perlu diasah di barisan hadapan sukan bermotor, lalu meneruskan kesinambungan pembangunan kereta sukan tersebut.

Ini membawa kepada pengenalan model 86 pada tahun 2012 dan GR Supra pada tahun 2019.

Walau bagaimanapun, memandangkan pembangunan kedua-dua model tersebut masing-masing bergantung kepada kerjasama teknikal dengan Subaru dan BMW, ini bermakna Toyota Motor Corporation masih belum mampu mencapai matlamat untuk membangunkan kereta sport sepenuhnya secara dalaman.

Pelancaran TOYOTA GAZOO Racing

Anjakan besar berlaku pada April 2015 apabila TMC memutuskan untuk menyatukan semua aktiviti sukan bermotor di bawah satu jenama iaitu TOYOTA GAZOO Racing.

Langkah ini menyatukan aktiviti yang sebelum ini dijalankan secara berasingan di bawah nama TOYOTA Racing, LEXUS Racing dan GAZOO Racing.

Walaupun kini aktiviti tersebut secara rasmi boleh menggunakan nama syarikat dan berada di bawah payung korporat yang besar, Akio Toyoda merasakan semangat asal serta rasa rendah diri yang menjadi pemacu utama beliau dan Naruse sebelum ini mula memudar.

Bagi mengelakkan semangat tersebut terus hilang, Akio Toyoda yang ketika itu memegang jawatan Presiden memutuskan agar TMC kembali menyertai Kejohanan Rali Dunia (WRC).

Keputusan ini bertujuan untuk terus merevolusikan aktiviti syarikat dalam menghasilkan kereta yang lebih baik.

Kepulangan ke kancah WRC yang menggunakan kenderaan berasaskan produksi sebagai jentera perlumbaan telah menandakan titik perubahan besar dalam aktiviti sukan bermotor TMC.

Sebelum ini, TMC membangunkan kenderaan sukan bermotor berdasarkan kenderaan produksi yang sudah siap dibina.

Namun, selepas kembali ke WRC, pendekatan baharu telah dimulakan dengan menterbalikkan aturan konvensional tersebut.

Syarikat mula membina kereta yang mampu memenangi perlumbaan WRC terlebih dahulu sebelum menukarkan jentera tersebut kepada kenderaan produksi untuk pasaran awam.

Pendekatan ini membawa kepada pelancaran GR Yaris pada tahun 2020, sebuah hatchback sport yang dibina sepenuhnya secara dalaman oleh Toyota di bawah falsafah pembuatan kereta yang mampu menang di litar rali sebelum dijadikan kenderaan produksi.

Puncak kepada sejarah pembangunan dalaman mereka ini kemudiannya diteruskan dengan pembangunan dan pelancaran model GR Corolla

Peranan Baharu TOYOTA RACING dan Jentera TR010 HYBRID

TOYOTA RACING GmbH akan mengkhusus dalam aktiviti sukan bermotor yang memfokuskan kepada pembangunan teknologi canggih jangka panjang melibatkan enjin dan sistem janakuasa.

Bermula musim 2026, Toyota akan bertanding dalam Kejohanan Ketahanan Dunia (WEC) di bawah jenama TOYOTA RACING menggunakan jentera yang telah ditambah baik iaitu TR010 HYBRID.

TOYOTA GAZOO ROOKIE Racing (TGRR)

TGRR akan meneruskan aktivitinya seperti biasa.

Sebagai entiti yang membawa identiti “T” daripada TOYOTA Racing dan “G” daripada GAZOO Racing, TGRR akan berperanan sebagai jambatan antara kedua-dua pihak.

Ia berperanan mengasah produk dan teknologi yang telah dibangunkan oleh masing-masing dalam arena sukan bermotor sebagai sebuah pasukan perlumbaan, selain bekerjasama sebagai dojo atau tempat latihan untuk memperkasakan pembangunan modal insan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here