
Volvo memperkenalkan SUV elektrik terbaharu mereka, EX60, yang direka untuk menetapkan penanda aras baharu dalam segmen SUV elektrik premium.
Model ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 810 km bagi satu cas penuh mengikut piawaian WLTP, sekali gus menjadi model elektrik Volvo dengan jarak terjauh pernah dihasilkan setakat ini.
Bagi versi pacuan semua roda (AWD), EX60 mencatatkan jarak pemanduan sehingga 810 km, angka yang bukan sekadar di atas kertas.
Volvo menjelaskan, pembangunan EX60 mengambil kira penggunaan sebenar termasuk pemanduan lebuh raya, perjalanan jarak jauh dan variasi keadaan jalan, bagi memastikan kebolehcapaian praktikal untuk kegunaan harian.
Volvo turut menyifatkan EX60 sebagai ‘game changer’ bagi pemilik yang ingin ‘bertukar angin’ kepada kenderaan elektrik tanpa perlu berkompromi dari segi kebebasan perjalanan.

Model EX60 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 400 kW dan secara praktikal, SUV ini mampu menambah jarak pemanduan sehingga 340 km dalam hanya 10 minit pengecasan, hampir menyamai masa berhenti mengisi petrol dan membeli minuman.
Selain itu, pemilik EX60 ditawarkan jaminan bateri sehingga 10 tahun.
Resepi utama di sebalik kecekapan EX60 terletak pada platform SPA3 baharu, yang dibangunkan khusus untuk kenderaan elektrik sepenuhnya.
Platform ini memaksimumkan kecekapan sistem utama serta membolehkan jarak pemanduan setara dengan kenderaan berenjin pembakaran dalaman.
EX60 menggunakan teknologi ‘cell-to-body’ di mana bateri menjadi sebahagian dari struktur kenderaan.
Pendekatan ini membantu mengurangkan berat berlebihan, meningkatkan ketegaran badan dan memuatkan sel bateri baharu berketumpatan tenaga lebih tinggi.

EX60 adalah model Volvo pertama dihasilkan menggunakan teknologi mega casting, menggantikan pelbagai komponen kecil dengan satu struktur aluminium berskala besar.
Kaedah ini mengurangkan berat kenderaan, meningkatkan ketepatan pembuatan dan menyumbang secara langsung kepada jarak pemanduan yang lebih jauh.
Sistem elektrik 800-volt generasi baharu pula meningkatkan kecekapan pemindahan tenaga, mengurangkan haba dan membolehkan pengecasan lebih pantas berbanding sistem konvensional.
Volvo dalam masa yang sama turut mengintegrasikan algoritma pintar hasil kerjasama dengan Breathe Battery Technologies.
Sistem ini melaras kemasukan tenaga secara berterusan bagi memastikan bateri beroperasi dalam keadaan optimum, tanpa mengira suhu atau keadaan cuaca.
Dengan bilangan komponen bergerak yang lebih sedikit berbanding kenderaan konvensional, EX60 memerlukan servis yang lebih jarang.
Ini selaras dengan matlamat Volvo untuk menawarkan kos pemilikan yang lebih rendah tanpa menjejaskan aspek keselamatan, prestasi dan keselesaan.
Volvo model EX60 dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 21 Januari 2026, dengan acara pelancaran penuh akan disiarkan secara langsung dalam talian.
Model ini dijangka menjadi tonggak penting dalam strategi elektrifikasi Volvo serta memperkukuhkan kedudukan jenama itu dalam pasaran SUV elektrik global.





























