
Chery Malaysia mencipta sejarah tersendiri dalam industri automotif tempatan apabila berjaya mencatatkan jualan kumulatif melebihi 30,000 unit dalam tempoh kurang dari tiga tahun bertapak di negara ini.
Sehingga akhir tahun lalu, syarikat automotif berkenaan merekodkan angka jualan rasmi sebanyak 30,073 unit, satu pencapaian yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama paling pantas berkembang dalam pasaran Malaysia.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, momentum pertumbuhan jenama berkenaan dilihat sangat ketara bermula dengan jualan sebanyak 4,501 unit pada separuh kedua tahun 2023, sebelum melonjak kepada 12,930 unit kenderaan yang berjaya diserahkan kepada pelanggan sepanjang tahun 2025.
“Model OMODA 5 yang dilancarkan pada 2023 menjadi penyumbang utama kejayaan itu dan kekal sebagai model paling laris serta memainkan peranan penting dalam mengukuhkan jenama itu di pasaran.
“Selain model enjin pembakaran dalaman, evolusi produk syarikat itu kini beralih secara agresif ke arah mobiliti elektrik menerusi pengenalan OMODA E5 pada Mac 2024 yang menandakan kemasukan rasminya ke segmen kenderaan elektrik,” kata kenyataan itu.
Rangkaian produk itu diperkukuhkan lagi dengan siri TIGGO yang kini menawarkan enam model dinamik termasuk varian hibrid (HEV) dan ‘plug-in hybrid’ (PHEV) yang dikuasakan oleh teknologi ‘Super Hybrid’ canggih.
Di peringkat global, Kumpulan Chery menutup tirai tahun 2025 dengan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan jualan keseluruhan sebanyak 2.806 juta unit, iaitu peningkatan 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi memastikan kelangsungan jangka panjang di Malaysia, syarikat berkenaan sedang giat membangunkan Taman Perindustrian Auto Pintar Chery di Lembah Beringin, Selangor membabitkan pelaburan bernilai RM2.2 bilion.
Fasa pertama kilang seluas 200 ekar itu dijangka siap sepenuhnya pada separuh pertama 2026, yang bakal memesatkan usaha pemasangan tempatan, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi.
Selain fokus perniagaan, Chery tidak melupakan tanggungjawab sosial korporat apabila tampil pantas meminjamkan kenderaan kepada 50 mangsa kebakaran di Putra Heights baru-baru ini untuk memudahkan urusan harian mereka ketika krisis.
Syarikat itu turut menyumbang kepada pembangunan modal insan negara menerusi kerjasama dengan Tabung Amanah Sukan Negara serta inisiatif Projek Belia Mahir bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri automotif.
Berdasarkan kenyataan itu lagi, setiap pengenalan model baharu membuktikan komitmen berterusan jenama berkenaan dalam menyediakan teknologi automotif inovatif dan ciri keselamatan premium yang berorientasikan masa depan kepada rakyat Malaysia.




























