Isu bateri : Volvo panggil balik EX30 secara global

8

Volvo Car Group, yang dimiliki oleh Geely Holding dari China menganjurkan kempen panggil balik kenderaan secara global susulan kebimbangan keselamatan terhadap bateri yang dibekalkan pengeluar China, Sunwoda Electronic.

Langkah ini diambil sejurus selepas sebuah lagi anak syarikat Geely memfailkan saman terhadap Sunwoda berhubung isu kualiti bateri.

Menurut media automotif Hypermiler, Volvo mengesahkan sebanyak 10,440 unit EX30 di pasaran United Kingdom (UK) berisiko menimbulkan bahaya keselamatan pada bateri voltan tinggi Sunwoda.

Ia merupakan sebahagian daripada isu lebih besar yang melibatkan 33,777 unit EX30 yang menggunakan sel bateri Sunwoda, di mana kira-kira 0.02 peratus daripada sel tersebut dilaporkan mengalami masalah pemanasan melampau. 

Situasi menjadi lebih mendesak selepas sebuah Volvo EX30 terbakar di sebuah bilik pameran di Maceió, Brazil pada November 2025. Kenderaan tersebut musnah sepenuhnya, memerlukan 11 anggota bomba dan empat jentera bomba untuk memadamkan kebakaran.

Langkah Keselamatan Segera

Sebagai tindak balas, Volvo telah mengeluarkan amaran kecemasan kepada pemilik di pasaran termasuk UK, Amerika Syarikat, Australia dan Afrika Selatan.

Pengguna diarah mengehadkan pengecasan kapasiti bateri kepada 70 peratus sahaja bagi mengurangkan risiko kebakaran sementara pelan panggil balik yang komprehensif disediakan.

Suruhanjaya Pengguna Kebangsaan Afrika Selatan telah mengumumkan panggil balik melibatkan 372 unit Volvo EX30, merangkumi model tahun 2024 hingga 2026 iaitu versi single-motor extended range dan dual-motor performance.

Menurut Volvo Afrika Selatan, panggil balik itu bagi menangani potensi kecacatan pada bateri voltan tinggi. Dalam kes yang jarang berlaku ia boleh menyebabkan pemanasan melampau jika dicas pada tahap tinggi, sekali gus membawa kepada risiko pelarian haba (thermal runaway) dan potensi kebakaran.

Walaupun Volvo cuba meredakan kegusaran pasaran dengan menyatakan bahawa jumlah insiden yang dilaporkan adalah sangat rendah dan risiko yang jarang berlaku, namun ramai pemilik tetap berasa bimbang.

Saman Bilion Ringgit Terhadap Pembekal

Pada 26 Disember lalu, anak syarikat Geely, Viridi E-Mobility Technology yang bertanggungjawab terhadap sistem bateri memfailkan saman terhadap Sunwoda dengan menuntut ganti rugi sebanyak CNY 2.31 bilion (RM1.4 bilion).

Saman itu mendakwa terdapat kecacatan kualiti pada sel bateri yang dibekalkan antara Jun 2021 hingga Disember 2023.

Sebelumnya, model Zeekr 001 versi WE86 milik Geely yang turut menggunakan sel Sunwoda berdepan aduan pelanggan mengenai kadar pengecasan yang perlahan dan paparan jarak perjalanan yang tidak tepat.

Zeekr terpaksa melancarkan “Kempen Penjagaan Musim Sejuk” dengan menawarkan pemeriksaan bateri dan penggantian percuma kepada pemilik terjejas, yang dilaporkan menelan kos lebih CNY 1 bilion (RM620 juta).

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here