Pemilik Royal Enfield ‘tawan’ Litar Antarabangsa Sepang, pecah rekod Malaysia Book of Records

8

Peluang menguji motosikal di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menjadi pentas pemotoran seperti MotoGP dan Formula 1, semestinya menjadi impian peminat jentera roda dua itu.

Ia menjadi kenyataan bagi pemilik jentera Royal Enfield hujung minggu lalu apabila mereka diberi peluang merasai pengalaman menunggang di litar berkenaan.

Pengalaman dirasai mereka bukan sekadar tunggangan biasa, tapi mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai perhimpunan terbesar jenama itu di Malaysia membabitkan 850 pemilik.

Acara di SIC itu menyaksikan pemilik dari seluruh negeri di Semenanjung Malaysia berkonvoi dari Royal Enfield Petaling Jaya ke litar ikonik terbabit.

Penganjuran acara oleh Didi Group itu juga menampilkan keseluruhan rangkaian model Royal Enfield termasuk model klasik seperti Bullet dan Classic 350, Interceptor 650, Shotgun, Guerrilla 450, Continental GT, Himalayan serta Super Meteor 650.

Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo berkata, acara itu bukan sahaja mencipta rekod baharu, malah mengangkat jenama dan komuniti Royal Enfield ke tahap lebih tinggi.

“Acara ini menghimpunkan pemilik daripada pelbagai kaum dan latar belakang di bawah satu matlamat bersama iaitu mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records.

“Tenaga dan semangat ditunjukkan amat luar biasa dan menjadi permulaan cukup bermakna bagi tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Royal Enfield, Yadvinder Singh Guleria berkata, pencapaian berkenaan membuktikan kekuatan komuniti penunggang Royal Enfield di Malaysia.

“Rekod ini melambangkan semangat kebersamaan dan kekuatan komuniti Royal Enfield, kita akan terus memperluaskan rangkaian dan keupayaan di rantau Asia Pasifik serta membina komuniti penunggang yang lebih kukuh,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here