Utama Berita Automotif GGR Motor raih 5 piala, dinobat Raja Drag EV Asia

GGR Motor raih 5 piala, dinobat Raja Drag EV Asia

6

Pasukan GGR Motor melakar sejarah apabila dinobatkan Raja Drag EV Asia selepas meraih lima piala dalam perlumbaan ASEAN EV Drag International di Avenue Track, Bangkok, hujung minggu lalu.

Kejayaan itu menyaksikan GGR Motor menguasai beberapa kategori utama seperti 100V, 130V dan Super Open, sekali gus membuktikan keupayaan jentera elektrik pasukan itu di peringkat antarabangsa.

Ketua Teknikal GGR Motor, Muhammad Fathi Mohamed Azmi atau lebih dikenali sebagai Toie berkata, kemenangan tersebut adalah hasil kerja keras pasukan serta persiapan teknikal intensif dalam tempoh singkat di Thailand.

“Alhamdulillah, di bumi Thailand… akhirnya GGR Motor Malaysia berjaya membawa pulang lima piala.

“Ini adalah pencapaian besar buat pasukan dan industri EV drag Malaysia,” ujarnya.

Toie memaklumkan, dalam kategori 100 volt, GGR Motor berjaya meraih tempat pertama, kedua dan ketiga, sekali gus mendominasi keseluruhan podium bagi kategori tersebut.

Katanya, jentera GGR turut mencatat masa terpantas untuk tempat pertama, diikuti dua lagi jentera pasukan yang melengkapkan kedudukan podium.

“Disebabkan kekangan body dan keperluan mengejar masa, kami mengambil keputusan bertanding dalam konfigurasi sedia ada, namun syukur masih mampu mencatat keputusan membanggakan,” jelasnya.

Dalam kategori 130 Volt, GGR Motor menambah dua piala menerusi kedudukan tempat kedua dan ketiga.

Manakala dalam kategori Super Open, GGR Motor mencipta kejutan selepas menewaskan pencabar dari Amerika Syarikat.

Mengulas kerjasama rentas negara, Toie menjelaskan, penglibatan GGR Motor Thailand adalah sebahagian daripada kolaborasi strategik bagi memperluaskan pasaran motosikal GGREV di Thailand pada masa hadapan.

Dalam pada itu, pelumba GGR, Wan Imran Naim Wan Ahmad Arif, 23, mengakui cabaran menunggang jentera EV di Bangkok sangat berbeza jika dibandingkan motosikal petrol yang pernah dikendalikan sebelum ini.

“EV bukan mudah, tambahan pula dengan permukaan trek yang sangat ‘grip’. Walaupun masa latihan singkat, pengalaman ini sangat berharga dan saya akan buat yang terbaik pada kejohanan akan datang,” katanya.

Seorang lagi pelumba, Mohd Edham Arzimi, 28, berkata, tempoh latihan tiga hari di bawah bimbingan pasukan teknikal memberi pendedahan baharu terhadap karakter jentera elektrik berprestasi tinggi.

“Ini pengalaman pertama saya berlumba EV di Bangkok. Ia mencabar dari segi teknikal dan mental, tetapi alhamdulillah kami masih berjaya membawa pulang piala untuk Malaysia,” jelasnya.

Pada kejohanan antarabangsa NGO Asean Super Fast 2025 di Buriram United Dragster Track dari 9 hingga 11 Januari lalu, GGR Motor merekodkan keputusan tempat ketiga dan keempat selepas berhadapan dengan cabaran teknikal dan kemalangan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here