Utama Berita Automotif Isuzu Elf, D-Max bantu lonjak jenama Isuzu sepanjang 2025

Isuzu Elf, D-Max bantu lonjak jenama Isuzu sepanjang 2025

13

Keupayaan kenderaan keluaran Isuzu dan faktor kos operasi rendah terus menjadikan jenama itu diyakini pengguna tempatan.

Selain ketahanan perjalanan jarak jauh serta tahap keselamatan dan keselesaan yang konsisten, ia juga menjadi pemacu utama prestasi jualan syarikat sepanjang 2025.

Prestasi ini dicapai ketika pasaran kenderaan komersial secara keseluruhan mencatatkan penurunan sebanyak 11.4 peratus, manakala segmen trak pikap merosot 7.3 peratus.

Ia adalah kesan semakan semula harga diesel dilaksanakan pada tahun 2024.

Dalam persekitaran pasaran mencabar itu, Isuzu sebaliknya tetap mencatatkan perkongsian pasaran tertinggi dalam sejarahnya, dengan kadar 56.1 peratus melalui pendaftaran 6,880 unit.

Pencapaian ini mengatasi rekod terdahulu sebanyak 47.1 peratus yang dicatatkan pada tahun 2023.

Model trak pikap Isuzu D-Max menunjukkan prestasi cemerlang, menguasai hampir 15 peratus pasaran segmennya, sekali gus melonjakkan model itu kepada kedudukan kedua keseluruhan dalam pasaran trak pikap di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, kejayaan berkenaan berpunca daripada keupayaan syarikat memenuhi, malah melangkaui jangkaan pelanggan.

Jelasnya, sebagai peneraju global dalam industri mobiliti, Isuzu amat memahami keperluan dan kehendak pelanggan.

“Komitmen kami dalam menyediakan barisan produk yang benar-benar menepati keperluan pengguna kekal menjadi faktor utama peningkatan populariti jenama Isuzu di Malaysia,” jelasnya.

Beliau turut menekankan peranan penting rangkaian pengedar strategik serta sistem lepas jualan yang kukuh dalam memastikan pelanggan sentiasa mendapat sokongan optimum, meskipun keperluan pasaran sentiasa berubah.

Dalam segmen trak komersial, Isuzu Elf mengekalkan status sebagai trak tugas ringan terlaris di Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut, dengan 6,362 unit didaftarkan.

Model ini menyumbang 92.5 peratus daripada jumlah jualan trak dalam kategori itu sepanjang tahun lalu.

Bagi segmen tugasan sederhana pula, Isuzu Forward mendapat sambutan dengan keupayaannya mengendalikan perjalanan ulang-alik jarak jauh antara bandar.

Model ini sekali lagi muncul sebagai trak tugas sederhana paling laris di Malaysia pada 2025, dengan jualan sebanyak 494 unit, meneruskan momentum positif sejak 2023.

Peningkatan kedudukan Isuzu D-Max ke tangga kedua keseluruhan turut mencerminkan pengiktirafan pasaran terhadap nilai dan kebolehpercayaan jenama Isuzu.

Syarikat itu kini merancang untuk terus memperkukuh kehadiran produknya serta menonjolkan keupayaan D-Max dalam pelbagai persekitaran penggunaan.

Isuzu Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkaya pengalaman pemilikan pelanggan, khususnya dalam aspek lepas jualan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here