
Nampaknya Morbidelli bukan setakat memiliki model kembara, naked dan cruiser tetapi juga skuter gaya klasik iaitu SC125RE.
Walaupun mengekalkan gaya retro yang diinspirasikan daripada skuter klasik, SC125RE tetap tampil relevan dengan sentuhan moden dan teknologi terkini.
Reka Bentuk dan Praktikaliti
Dari sudut visual, SC125RE menyerlah dengan garis badan yang kemas dan bujur yang diinspirasi daripada skuter klasik namun dengan ciri-ciri moden.
Model ini menggunakan casis jenis lantai rata untuk memudahkan akses penunggang serta memberikan keselesaan bagi kegunaan harian di dalam bandar.
Rim aloi 12 inci yang dipadankan dengan tayar CST 120/70 pada kedua-dua bahagian roda menawarkan ketangkasan ketika mengharungi kesesakan lalu lintas.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi
Skuter ini dijana nadi penggerak yang cekap untuk tunggangan bandar.
Enjin 124.6cc ini merupakan unit silinder tunggal SOHC dan dilengkapi sistem penyejukan cecair yang dipasang pada bahagian sisi.
Sistem penyampaian bahan api diuruskan oleh suntikan elektronik EFI Motion dengan sistem nyalaan T.C.I.
Enjin ini berupaya menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 11.3 ps pada 8,500 rpm dan tork 11.2Nm pada 6,500 rpm.
Kuasa kemudiannya dihantar ke roda belakang melalui sistem transmisi automatik jenis CVT.
Berbekalkan enjin 125cc, kelajuan maksimum mencecah 92 km/j.
Komponen Kerangka dan Keselamatan
Morbidelli melengkapkan SC125RE dengan sistem brek cakera pada kedua dua sisi roda.
Brek hadapan menggunakan cakera berdiameter 198 mm dengan angkup 2 omboh, manakala bahagian belakang menggunakan cakera 190 mm dengan angkup 1 omboh.
Sistem keselamatan diperkukuhkan lagi dengan kehadiran ABS saluran tunggal pada roda hadapan.
Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dengan jarak gerak 85 mm.
Penyerap hentak jenis mono di belakang mempunyai 5 tahap pelarasan prabeban dengan jarak gerak 88 mm.
Teknologi dan Kelengkapan Moden
Walaupun tampil dengan imej klasik, aspek teknologi tidak diabaikan bagi memenuhi keperluan gaya hidup masa kini.
Skuter ini dilengkapi sistem kunci pintar Keyless Start, panel instrumen jenis LCD yang jelas, serta dua port pengecasan USB iaitu Jenis A dan Jenis C.
Sistem pencahayaan menggunakan teknologi LED sepenuhnya termasuk lampu hadapan, lampu belakang, serta lampu isyarat membelok yang turut disertakan dengan fungsi lampu kecemasan.
Dimensi dan Tangki
Dengan berat kerb hanya 139 dan ketinggian pelana pada paras 785 mm, SC125RE merupakan sebuah jentera yang mudah dikendalikan oleh pelbagai peringkat penunggang.
Tangki bahan api mempunyai kapasiti 7 liter, manakala kapasiti bebanan maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak 151.
Spesifikasi Teknikal Morbidelli SC125RE 2026
- Enjin: 124.6cc,1 silinder, 4 lejang, 2 injap
- Kuasa: 11.3 ps @ 8,500 rpm
- Tork: 11.2Nm @ 6,500 rpm
- Sistem Penyejukan: Cecair
- Sistem Bahan Api: EFI Motion
- Transmisi: Automatik CVT V-Belt
- Suspensi Hadapan: Fork teleskopik (jarak gerak 85 mm)
- Suspensi Belakang: Mono-shock, pelarasan prabeban 5 tahap (jarak gerak 88 mm)
- Brek Hadapan: Cakera 198 mm, angkup 2 omboh
- Brek Belakang: Cakera 190 mm, angkup 1 omboh
- Sistem Keselamatan: ABS saluran tunggal
- Tayar Hadapan: 120/70-12 CST
- Tayar Belakang: 120/70-12 CST
- Rim: Aloi aluminium
- Ketinggian Pelana: 785 mm
- Kapasiti Tangki: 7 liter
- Berat (kerb): 139 kg
- Kelajuan Maksimum: 92 km/j
- Ciri Tambahan: Penghidup Tanpa Kunci, LCD Dashboard, USB Jenis A dan Jenis C, Lampu LED penuh, Lampu Kecemasan




































