
Kebelakangan ini, dunia automotif kembali hangat memperkatakan tentang kemungkinan kelahiran semula dua model legenda Toyota iaitu MR2 dan Celica.
Berbanding kedua-duanya, Celica memegang sejarah yang jauh lebih panjang bermula sejak tahun 1970 sebelum pengeluarannya terhenti pada generasi ketujuh.
Model ikonik ini akhirnya ditamatkan pada tahun 2006.
Dilancarkan Pada 1999

Sebagai imbasan, pada 20 September 1999, Toyota Motor Corporation melancarkan Toyota Celica generasi ketujuh di Jepun.
Model ini merupakan hasil rekaan semula sepenuhnya yang menggabungkan konsep revolusioner dengan kejuruteraan canggih untuk menghasilkan sebuah kereta sport yang menyeronokkan untuk dipandu.
Pembangunan model ini menumpukan kepada tiga matlamat utama iaitu penggayaan dalaman dan luaran yang unik untuk era baharu, memberikan rasa bangga dalam setiap aspek serta membina jentera yang dekat dengan jiwa golongan muda.
Walau bagaimanapun, model generasi ketujuh ini sering dianggap kurang menyerlah berbanding model terdahulu kerana peralihan teknikalnya.
Berbeza dengan generasi sebelum itu yang terkenal dengan varian ikonik GT-Four yang menggunakan sistem pacuan empat roda (4WD) dan enjin pengecas turbo, model tahun 1999 ini hanya ditawarkan dengan sistem pacuan roda hadapan dan barisan enjin aspirasi natural (NA).
Meskipun menawarkan pengendalian lincah dan teknologi enjin BEAMS yang canggih, ketiadaan sistem 4WD dan pilihan turbo menjadikannya kurang mendapat tempat dalam kalangan peminat prestasi.
Evolusi Reka Bentuk Luaran dan Ruang Kabin

Reka bentuk luaran Celica baharu ini menampilkan gayaan satu gerakan atau one motion dengan jarak roda yang panjang serta bahagian lebihan (overhangs) depan dan belakang yang pendek untuk menghasilkan perkadaran yang menarik.
Wajah hadapan tampil garang dengan unit lampu utama menegak yang memanjang serta liang kemasukan udara pada bonet.
Di bahagian sisi, ia menggabungkan lengkungan roda yang sasa dengan garisan badan yang dinamik, manakala bahagian belakang menekankan kedudukan tayar yang lebar dan stabil.

Di dalam kabin, tema lengkungan digunakan untuk menyatukan ruang antara pemandu dan penumpang hadapan agar terasa lebih luas dan selesa.
Kerusi jenis sport direka untuk memegang kedudukan badan dengan kemas ketika menerima daya G sisi semasa pemanduan agresif.
Penggunaan kemasan plat aluminium pada pedal pendikit, brek, klac dan tempat letak kaki menambahkan lagi aura perlumbaan, terutamanya untuk pakej Super Strut.
Ciri Keselesaan dan Teknologi Dalaman

Toyota melengkapkan Celica dengan pelbagai ciri moden bagi menjadikan perjalanan lebih menyeronokkan.
Konsol tengah menyediakan ruang penyimpanan untuk lapan keping CD atau 10 kaset serta pemegang cawan yang besar.
Sistem penyaman udara baharu yang lebih ringan dan cekap tenaga dipasang secara standard bagi model enjin 2ZZ-GE, manakala penapis udara penyingkir debunga (pollen-removal) tersedia bagi semua varian.
Antara ciri lain yang disertakan adalah sistem kunci pintu tanpa wayar dengan pengesahan lampu amaran, ruang but yang mencukupi untuk peralatan sukan, serta pilihan bumbung suria menggunakan panel resin yang ringan.
Pembeli juga boleh memilih sistem navigasi DVD yang menawarkan pencarian laluan lebih pantas serta pangkalan data maklumat pelancongan yang luas.
Rangkaian Kuasa

Toyota menawarkan dua pilihan enjin 1.8 liter daripada keluarga BEAMS yang menggunakan blok silinder aluminium sepenuhnya untuk mengurangkan berat dan meningkatkan kecekapan bahan api.
Enjin 1.8 liter 1ZZ-FE (VVT-i)
- Nisbah mampatan 10.0 dan menggunakan ruang pembakaran jenis oblique squish untuk menghasilkan tork yang tinggi bagi pemanduan yang mudah serta kuasa kuda yang mantap.
- Output maksimum 145 ps pada 6,400 rpm dan tork maksimum 171 Nm pada 4,200 rpm.
Enjin 1.8 liter 2ZZ-GE (VVTL-i)
- Varian berprestasi tinggi ini mempunyai lejang lebih pendek, saiz liang injap lebih besar dan nisbah mampatan tinggi 11.5 untuk putaran enjin serta output yang lebih tinggi.
- Blok silinder menggunakan bahan Metal Matrix Composite (MMC).
- Teknologi VVTL-i membolehkan variasi masa injap kemasukan secara berterusan serta kawalan bukaan injap kemasukan dan ekzos untuk prestasi optimum pada semua julat kelajuan.
- Menghamburkan output maksimum 190 ps pada 7,600 rpm dan tork maksimum 180 Nm pada 6,800 rpm.
Transmisi
Bagi transmisi, terdapat pilihan automatik empat kelajuan Super ECT yang responsif.
Model 2ZZ-GE dilengkapi dengan ciri Sports Steer Shiftmatic yang membolehkan pemandu menukar gear melalui butang pada stereng.
Selain itu, transmisi manual enam kelajuan disediakan dengan nisbah gear yang rapat untuk prestasi sport dan gear keenam untuk penjimatan bahan api serta pengurangan bunyi pada kelajuan tinggi.
Prestasi Pemanduan dan Sistem Suspensi

Kestabilan pemanduan Celica didorong oleh penggunaan suspensi jenis McPherson dengan L-arm di bahagian hadapan dan suspensi dua sisi jenis double wishbone di bahagian belakang yang disambungkan pada subframe menggunakan kaedah pembinaan hydroform.
Bagi gred SS-II, pilihan sistem suspensi Super Strut tersedia untuk kegunaan pemanduan sport yang lebih ekstrem bagi menstabilkan kenderaan semasa selekoh tajam dan kelajuan tinggi.
Ciri Keselamatan Aktif dan Pasif
Aspek keselamatan dipertingkatkan melalui sistem brek ABS dengan Pembahagian Daya Elektronik (EBD) yang mengagihkan daya brek antara roda hadapan dan belakang mengikut keadaan beban.
Lampu brek ketiga dipasang tinggi pada bahagian atas tingkap belakang untuk keterlihatan yang lebih baik.
Struktur badan Global Outstanding Assessment (GOA) digunakan untuk menyerap impak perlanggaran dari pelbagai arah, termasuk ujian perlanggaran hadapan 64 km/j dan sisi 55 km/j.
Di dalam kabin, terdapat tulang pelindung impak pada tiang dan rel bumbung, manakala tali pinggang keledar hadapan dilengkapi dengan pra-tegangan dan pengehad daya.
Beg udara SRS dua sisi merupakan ciri standard, manakala struktur kerusi hadapan menggunakan teknologi Whiplash Injury Lessening (WIL) untuk melindungi kepala semasa perlanggaran dari belakang.
Pendekatan Terhadap Alam Sekitar
Semua model Celica mematuhi standard emisi yang berkuat kuasa pada Oktober 2000, dengan pengurangan tahap HC dan NOx sebanyak 25 peratus di bawah garis panduan J-TLEV.
Toyota menggunakan polimer resin TSOP yang mempunyai kebolehan kitar semula yang tinggi pada bampar dan panel instrumen.
Bahan kalis bunyi RSPP yang dikitar semula daripada sisa kenderaan lama juga digunakan pada pendakap papan pemuka.
Selain itu, komponen seperti radiator dan pelindung pendawaian bebas daripada bahan plumbum.
Spesifikasi Utama Toyota Celica (Model 1999) Pasaran Jepun
Maklumat Umum
- Tarikh Pelancaran: 20 September 1999
- Sasaran Jualan Bulanan: 2,000 unit
Dimensi Badan (Semua Model)
- Panjang x Lebar x Tinggi: 4,335 mm x 1,735 mm x 1,305 mm
- Jarak Roda: 2,600 mm
- Jarak Trek Hadapan: 1,490 mm
- Jarak Trek Belakang: 1,480 mm
Toyota Celica SS-II (Prestasi Tinggi)
- Model Enjin: 2ZZ-GE 1.8 liter 4 silinder sebaris DOHC
- Teknologi: VVTL-i (Variable Valve Lift and Timing – intelligent)
- Output Maksimum: 190 ps@7,600 rpm
- Tork Maksimum: 180 Nm@6,800 rpm
- Nisbah Mampatan: 11.5
- Berat Kosong: 1,140 kg (Manual 6 kelajuan) / 1,180 kg (Automatik)
- Sistem Brek: Cakera (Hadapan berventilasi / Belakang padu)
- Ciri Khas: Pilihan Super Strut Package dan Sports Steer Shiftmatic (pada model automatik)
Toyota Celica SS-I (Standard)
- Model Enjin: 1ZZ-FE 1.8 liter 4 silinder sebaris DOHC
- Teknologi: VVT-i (Variable Valve Timing – intelligent)
- Output Maksimum: 145 ps@6,400 rpm
- Tork Maksimum: 171 Nm@4,200 rpm
- Nisbah Mampatan: 10.0
- Berat Kosong: 1,090 kg (Manual 5 kelajuan) / 1,110 kg (Automatik)
- Sistem Brek: Cakera berventilasi (Hadapan) / Dram leading trailing (Belakang)
- Transmisi Manual: 5 kelajuan































