
Ducati akhirnya mendedahkan DesertX generasi kedua serba baharu, yang bakal tiba di UK dengan harga pelancaran istimewa £14,995 (RM79 ribu).
Model DesertX baharu ini pertama kali dipertontonkan di EICMA 2025 di Milan, Itali pada November lalu.
Selepas beberapa bulan, ia kini bersedia memasuki pasaran Eropah bermula April. Harga pelancaran UK tersebut hanya sah untuk tempahan sebelum 30 Jun.
Ducati mengekalkan enjin V-twin 890cc yang sama seperti pada Monster V2 baharu. Ia menghasilkan 110 hp pada 9,000rpm dan 92 Nm tork pada 7,000rpm.
Ducati menjelaskan bahawa generasi kedua DesertX ini dibangunkan berdasarkan maklum balas dan pengalaman bertahun-tahun dalam perlumbaan ekstrem seperti Erzbergrodeo, Rally of Albania, Transanatolia dan 1,500km padang pasir dalam NORRA Mexican 1000 Rally.
Datang dengan warna Matt Star White Silk, DesertX baharu kini dilengkapi sistem quickshifter 2.0 sebagai standard, bersama empat tahap Cornering ABS.
Tahap 1 dan 2 direka khusus untuk tunggangan off-road — tahap 1 untuk penunggang lebih agresif, manakala tahap 2 membantu penunggang kurang berpengalaman membiasakan diri dengan manuver off-road. Tahap 3 dan 4 pula untuk tunggangan jalan raya. ABS boleh dinyahaktifkan, tetapi hanya dalam mod Enduro dan Rally.
Terdapat enam mod tunggangan: Enduro, Rally, Sport, Touring, Urban dan Wet.
Semua maklumat dipaparkan melalui skrin TFT 5 inci baharu, dengan tiga mod paparan — Road, Road Pro dan Rally — yang boleh bertukar secara automatik antara siang dan malam.
Selain Cornering ABS, DesertX turut hadir dengan Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC) dan Engine Brake Control (EBC), semuanya boleh dilaras mengikut tahap intervensi.
Model 2026 ini juga menerima tangki bahan api polimer 18 liter yang lebih ringan dan lebih tirus, menyumbang kepada berat keseluruhan 209 kg (tanpa bahan api).
Rangka monocoque yang direka khusus untuk DesertX turut berfungsi sebagai airbox, dan Ducati mendakwa kedudukan baharu ini memudahkan akses kepada penapis udara.
Kuasa membrek diserahkan kepada Brembo dengan angkup M4.32 monobloc dan cakera 305mm di depan.
Suspensi pula menggunakan komponen KYB — fork 46mm boleh laras sepenuhnya dengan jarak gerak 230mm, manakala belakang menggunakan monoshock boleh laras sepenuhnya dengan pelaras pra-beban jauh dan jarak gerak 220mm.
DesertX didatangkan dengan tayar Pirelli Scorpion Rally Street, dipadankan rim 21 inci di depan dan 18 inci di belakang.


































