Utama Berita Automotif Kerajaan tubuh HLC biobahan api, respons proaktif krisis global

Kerajaan tubuh HLC biobahan api, respons proaktif krisis global

11

Penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Biobahan Api merupakan langkah segera kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ketidaktentuan bekalan tenaga global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat HLC Biobahan Api berkata penubuhan jawatankuasa itu susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah respons proaktif terhadap krisis bekalan global yang tercetus akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Matlamat utama jawatankuasa ini adalah untuk membincang, menyelaras dan memantau pelaksanaan keputusan dasar kerajaan berkaitan peningkatan kadar adunan biodiesel negara daripada B10 kepada B15 secara berperingkat.

“Selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus industri biobahan api negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) selaku urusetia HLC Biobahan Api, komited memastikan jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform penyelarasan strategik peringkat tinggi merentas kementerian dan agensi,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata HLC turut bertangungiawab untuk melapor kemajuan pelaksanaan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri. 

Beliau memaklumkan biodiesel yang dihasilkan daripada komoditi tempatan, mampu bertindak sebagai penampan langsung jika berlaku kejutan bekalan luar dan membolehkan negara mengawal sebahagian besar sumber tenaganya secara domestik.

Ahmad Zahid berkata kerajaan turut berharap agar inisiatif pemerkasaan biodiesel itu dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan api fosil dan memperkukuh jaminan keselamatan tenaga melalui sumber alternatif lebih mampan sekali gus memanjangkan bekalan bahan api negara.

“Kerajaan kekal komited dan akan terus memperkukuh kolaborasi strategik bersama pemegang taruh bagi memastikan industri biobahan api menjadi antara pemacu utama peralihan tenaga rendah karbon, keselamatan tenaga serta pengukuhan daya saing sektor agrikomoditi negara,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here