
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kulim, Kedah menyita sebuah toyota Caldina selepas didapati menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh sejak 2022.
Selain itu, hasil pemeriksaan juga mendapati perlindungan insurans tidak diperbaharui sejak tahun 2024 dalam satu operasi penguatkuasaan di Lebuhraya Perdana, pada Sabtu.
“Lebih membimbangkan, pemandu kenderaan itu turut didapati tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah bagi kelas kenderaan yang dipandunya.
“Susulan pelbagai pelanggaran undang-undang yang dikesan, tindakan saman telah dikenakan terhadap pemandu dan kenderaan tersebut disita untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” menurut kenyataan.
JPJ Kedah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan kenderaan yang gagal mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan semua pengguna jalan raya.






























