Utama Berita Automotif Yamaha pembekal eksklusif Moto3 bermula 2028, jentera baharu berasaskan CP2!

Yamaha pembekal eksklusif Moto3 bermula 2028, jentera baharu berasaskan CP2!

11

Yamaha Motor Co., Ltd. dan MotoGP mengumumkan kerjasama jangka panjang yang menyaksikan pengeluar Jepun itu menjadi pembekal eksklusif motosikal untuk Kejuaraan Dunia FIM Moto3 bermula musim 2028 hingga 2033.

Pengumuman itu dibuat menerusi sidang media bersama sempena perlumbaan Dutch TT di Assen, sekali gus menandakan antara perubahan terbesar dalam perlumbaan Grand Prix sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Yamaha dan MotoGP, projek baharu itu dibangunkan bagi memperkukuhkan laluan pembangunan pelumba muda menerusi platform yang lebih mudah diakses.

Pada masa sama, ia mengekalkan integriti sukan, menawarkan kecemerlangan kejuruteraan serta mempunyai perancangan pembangunan jangka panjang.

Era baharu Moto3

Matlamat utama projek tersebut adalah memastikan bakat pelumba terus menjadi faktor penentu kejayaan, sambil mengekalkan tahap persaingan tertinggi dalam kategori Moto3.

Moto3 diperkenalkan pada 2012 sebagai pengganti jentera Grand Prix dua lejang 125cc yang digunakan sejak permulaan Kejuaraan Dunia pada 1949.

Ketika ini, kategori berkenaan menggunakan motosikal prototaip berenjin silinder tunggal empat lejang 250cc yang menghasilkan sekitar 60hp dengan berat minimum gabungan motosikal dan pelumba ditetapkan pada 152kg.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Honda dan KTM menjadi dua pengeluar utama yang bersaing dalam kategori Moto3.

Prototaip baharu berasaskan platform CP2

Bagi era baharu Moto3, Yamaha akan membangunkan sebuah prototaip perlumbaan baharu berasaskan platform enjin CP2 yang telah digunakan secara meluas pada model produksi syarikat itu.

Walaupun menggunakan asas enjin yang sama, Yamaha menjelaskan ia akan diubah suai secara menyeluruh untuk kegunaan perlumbaan Grand Prix.

Objektifnya adalah menghasilkan nisbah kuasa kepada berat yang lebih baik berbanding jentera Moto3 sedia ada.

Pada masa sama, Yamaha turut memperkenalkan motosikal bersaiz penuh yang lebih sesuai dengan fizikal serta gaya tunggangan generasi pelumba masa kini.

Keluarga enjin CP2 Yamaha sememangnya terkenal dalam rangkaian motosikal pertengahan seperti YZF-R7, MT-07, XSR700 dan Ténéré 700.

Yamaha bagaimanapun belum mendedahkan spesifikasi akhir jentera Moto3 baharu itu.

Platform pembangunan pelumba masa depan

Selain Kejuaraan Dunia Moto3, platform baharu itu turut dirancang untuk menyokong pembangunan pelumba di peringkat akar umbi.

Bermula 2029, siri JuniorGP Moto3 dijangka menggunakan versi motosikal yang mempunyai spesifikasi sedikit lebih rendah.

Yamaha dan MotoGP turut memaklumkan perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa lagi kejuaraan serantau yang berminat menggunakan platform sama.

Sumber: Yamaha, mcnews.com.au

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here