
Porsche terus mengembangkan program sukan permotoran pelanggan menerusi model baharu 911 GT4 R, iaitu jentera yang dibangunkan khusus untuk kategori GT4 global.
Buat pertama kali, Porsche menggunakan platform 911 sebagai asas model GT4, sekali gus menandakan perubahan besar selepas sekian lama keluarga 718 Cayman menjadi tunjang program GT4 jenama itu.
Model baharu ini dijadual membuat penampilan sulung pada musim perlumbaan 2027 dan bakal bersaing dalam pelbagai kejohanan GT4 di seluruh dunia.
Porsche bawa platform 911 ke pentas GT4
Menurut Porsche, pembangunan 911 GT4 R adalah sebahagian daripada strategi memperluaskan portfolio perlumbaan pelanggan, khususnya dalam kategori GT4 yang kini menjadi antara segmen paling pesat berkembang dalam dunia sukan permotoran.
Siri seperti ADAC GT4 Germany dan GT4 European Series kini dianggap sebagai platform penting dalam pembangunan pelumba sebelum mereka beralih ke perlumbaan GT3.
Berbanding model GT4 Clubsport terdahulu yang diasaskan daripada 718 Cayman, 911 GT4 R hadir dengan enjin lebih berkuasa, trek roda lebih lebar serta sistem elektronik perlumbaan yang dipertingkat.
Gabungan itu membantu meningkatkan masa pusingan, kestabilan dan kebolehmanduan ketika berlumba.
Enjin 4.0L boxer 520PS, berasaskan 911 Cup
911 GT4 R menggunakan enjin boxer 4.0 liter enam silinder aspirasi semula jadi yang dibangunkan berasaskan unit pada Porsche 911 GT3 dan 911 Cup.
Dalam spesifikasi perlumbaan penuh, enjin itu menghasilkan sehingga 520PS dan 470Nm, dengan rev maksimum mencecah 8,750rpm.
Bagaimanapun, selaras dengan peraturan GT4, output sebenar bergantung kepada klasifikasi Balance of Performance (BoP).
Dari kilang, Porsche membekalkan 911 GT4 R dengan air restrictor bersaiz 53.7mm yang mengehadkan kuasa kepada 430PS dan 422Nm.
Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi berturutan (sequential dog-type gearbox) enam kelajuan yang dipadankan dengan pedal gear, klac perlumbaan logam sinter empat plat serta pembeza gelinciran terhad mekanikal.
Casis lebih kompetitif, komposit gentian semula jadi kurangkan berat
Bagi memenuhi peraturan GT4, Porsche mengambil pendekatan berbeza berbanding 911 Cup dari aspek casis.
Mengikut peraturan GT4, rim menggunakan lima nat seperti model produksi, manakala lebarnya dikurangkan satu inci berbanding 911 Cup.
Perkakasan suspensi terdiri daripada penyerap hentak boleh laras dua arah, tiga pilihan kadar spring serta bar anti-oleng boleh laras bagi memberikan lebih banyak pilihan talaan mengikut keadaan litar.
Reka bentuk badan masih menggunakan asas daripada 911 Cup, namun menerima pelbagai penambahbaikan aerodinamik termasuk sayap belakang jenis swan-neck yang boleh dilaras sehingga 11 kedudukan.
Porsche turut menggunakan secara meluas komposit plastik bertetulang gentian semula jadi (Natural Fibre Reinforced Plastic, NFRP) bersama resin epoksi pada pelbagai komponen.
Antaranya termasuk pintu, penutup enjin, komponen aerodinamik serta beberapa panel kokpit.
Penggunaan bahan tersebut membantu mengurangkan berat tanpa menjejaskan ketegaran struktur.
Kokpit fokus kepada analisis prestasi
Di dalam kokpit, pemandu menerima semua maklumat penting menerusi skrin berwarna bersaiz 10.3 inci yang turut disepadukan dengan sistem data logger serta GPS berketepatan tinggi untuk analisis prestasi dan masa pusingan di litar.
Jentera ini juga dilengkapi komponen ballast tambahan bagi membolehkan berat keseluruhan disesuaikan mengikut klasifikasi Balance of Performance.
Menurut Pengarah GT Racing Cars Porsche Motorsport, Matthias Scholz, pembangunan 911 GT4 R banyak memanfaatkan pengalaman dan penyelidikan yang telah dilakukan ketika menghasilkan 911 Cup.
Beliau berkata, pendekatan itu membuka dimensi baharu dari segi prestasi serta pengalaman pemanduan dalam kategori GT4.
Porsche terus kukuhkan program perlumbaan pelanggan
Kategori GT4 diperkenalkan sekitar pertengahan tahun 2000-an dan kini berkembang menjadi salah satu platform perlumbaan pelanggan paling penting di dunia.
Ia menggabungkan teknologi berasaskan model produksi dengan kos operasi yang lebih sederhana berbanding GT3, sekali gus menarik penyertaan banyak pasukan pelanggan.
Sehingga 19 Jun 2026, Porsche berada di kedudukan ketiga dalam ranking pengeluar kendalian SRO, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pengeluar paling berjaya dalam kategori GT4.
Sejak menyertai kategori tersebut pada 2016, Porsche telah menghasilkan lebih 1,500 kereta lumba pelanggan berasaskan Cayman.
Model-model itu menggabungkan teknologi produksi dengan komponen perlumbaan, sekali gus menawarkan kos operasi yang lebih ekonomik kepada pasukan pelanggan.
Kini, Porsche meneruskan legasi tersebut menerusi 911 GT4 R yang buat pertama kali membawa nama ikonik 911 ke pentas perlumbaan GT4 global.
Spesifikasi ringkas Porsche 911 GT4 R
- Enjin boxer 4.0 liter enam silinder aspirasi semula jadi
- Kuasa maksimum: 520PS*
- Kuasa dengan air restrictor: 430PS
- Tork maksimum: 470Nm*
- Tork dengan air restrictor: 422Nm
- Putaran maksimum: 8,750rpm
- Transmisi sequential dog-type enam kelajuan
- Sistem pedal gear
- Diferensial gelinciran terhad mekanikal
- Berat: kira-kira 1,515kg
- Sayap belakang boleh laras 11 kedudukan
- Paparan digital 10.3 inci dengan data logger dan GPS
*Tertakluk kepada klasifikasi Balance of Performance (BoP).








































