
Element X Strategies selaku syarikat penganjur acara automotif tempatan mengumumkan penamatan peranannya sebagai penganjur rasmi Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) selepas tiga tahun bertanggungjawab mengendalikan acara berprestij itu di Malaysia.
Menurut syarikat itu, keputusan tidak memperbaharui lesen penganjuran dibuat selepas berjaya mencapai objektif dan sasaran ditetapkan sejak membawa jenama pameran automotif terkenal Jepun itu ke negara ini.
Element X Strategies menjelaskan, penganjuran TASKL bermula ketika industri automotif dan acara awam dalam fasa bangkit semula selepas pandemik Covid-19.
Sepanjang tiga tahun penganjuran, acara tersebut menghidupkan semula budaya automotif Jepun, kereta ubah suai dan komuniti JDM di Malaysia, sekali gus mencetuskan kebangkitan baharu dalam kalangan peminat, pembina kenderaan, pencipta kandungan dan penganjur acara automotif tempatan.
Menurut Element X Strategies, keputusan menamatkan kerjasama itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan TASKL mempunyai nilai sentimental tersendiri untuk mereka.
Bagaimanapun, perkembangan visi syarikat ke arah projek lebih besar dan bercita-cita tinggi menjadi faktor utama mereka memilih memulakan perjalanan baharu dalam industri acara automotif negara.
Element X Strategies turut mendedahkan sedang merancang acara automotif baharu yang disifatkan lebih besar, lebih berani dan lebih imersif berbanding apa yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Acara tersebut dijangka tidak hanya menumpukan pameran kenderaan semata-mata, sebaliknya bakal menggabungkan elemen budaya automotif, hiburan, gaya hidup, teknologi dan inovasi di bawah satu bumbung.
Syarikat itu menambah, pelbagai elemen yang mendapat sambutan sepanjang penganjuran TASKL akan diteruskan dalam acara baharu tersebut.
Ini termasuk pameran kenderaan ubah suai bertaraf antarabangsa, kereta eksotik, persembahan khas dan pelbagai aktiviti interaktif yang menjadi tarikan utama pengunjung sejak tiga tahun lalu.
Element X Strategies merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang perjalanan mereka sebagai penganjur TASKL.
Penghargaan tersebut ditujukan kepada rakan strategik, penaja, peserta pameran, media, sukarelawan, pengunjung dan seluruh komuniti automotif yang memainkan peranan penting dalam menjayakan acara berkenaan sejak 2024.
Walaupun era TASKL bawah kendalian Element X Strategies sudah berakhir, syarikat itu menegaskan perjalanan dalam industri automotif masih jauh dari penamat.
Sebaliknya dilihat sebagai permulaan kepada sebuah bab baharu yang dijangka membawa pengalaman hiburan automotif ke tahap lebih tinggi untuk peminat kenderaan di Malaysia.
Syarikat itu juga menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terus mempercayai dan menyokong perjalanan mereka sepanjang tiga tahun lalu.
Pada masa sama, syarikat itu turut memberi bayangan pengumuman mengenai evolusi baharu hiburan automotif akan dibuat dalam masa terdekat dengan janji The Best Is Yet To Come.

































