
Volkswagen dikatakan sedang berada dalam keadaan kewangan yang sangat tegang, menurut laporan terbaharu The Financial Times.
Terdapat kemungkinan gergasi automotif Jerman itu sedang mempertimbangkan untuk melepaskan beberapa jenama paling bernilai dalam kumpulannya, termasuk Ducati.
Laporan itu muncul selepas VW menjual jenama enjin marin Everllence dengan nilai sekitar €10 bilion, dan kenyataan CEO Oliver Blume yang merancang pengurangan 100,000 pekerja daripada keseluruhan 625,000 tenaga kerja globalnya.
Namun yang lebih menarik, bukan pemotongan pekerja yang mendorong potensi penjualan Ducati, akan tetapi kejayaan jualan Everllence dan Bugatti sebelum ini.
VW Group kini menaungi Ducati, Lamborghini dan Porsche, tiga jenama paling premium dan paling mudah dijual dalam portfolio mereka.
Sekiranya VW benar-benar mahu mengutip dana besar dengan cepat, jenama-jenama inilah yang paling berpotensi menarik bidaan tinggi seperti yang berlaku pada Everllence dan penjualan Bugatti kepada Rimac.

Dalam dunia motosikal pula, jenama terkemuka membuktikan mereka mempunyai nilai pelaburan yang tinggi, seperti Indian Motorcycle yang dibeli firma ekuiti swasta Carolwood LP dan KTM yang dijual kepada Bajaj AG.
Penjualan jenama Ducati dilihat boleh membantu VW menampal lubang kewangan dengan signifikan.
Menurut The Financial Times lagi, sesetengah penganalisis berpendapat kemungkinan VW untuk menjual jenama di bawah naungannya adalah rendah.
Namun dengan tekanan kewangan, kerugian Porsche, dan desakan pelabur supaya VW mengecilkan portfolio, menjual Ducati tetap kekal sebagai salah satu langkah radikal yang mungkin dipertimbangkan.

































