Utama Berita Automotif Proton himpun 97 perunding jualan terbaik di Phuket

Proton himpun 97 perunding jualan terbaik di Phuket

6

Tidak dapat dinafikan peranan perunding jualan bukan hanya sekadar menjual kereta, sebaliknya perlu mempunyai pengetahuan mendalam mengenai teknologi baharu, sistem keselamatan serta kenderaan elektrik (EV) dan hibrid plug-in (PHEV) bagi membantu pengguna membuat pilihan tepat.

Seiring perubahan industri itu, Proton menghimpunkan 97 perunding jualan terbaik dari seluruh negara menerusi program Elite Sales Achiever (ESA) Award Trip 2026 di Phuket, Thailand baru-baru ini.

Ia adalah sebagai tanda penghargaan terhadap prestasi cemerlang mereka sepanjang tahun lalu, di samping meningkatkan kemahiran profesional menerusi latihan dan perkongsian ilmu.

Program berlangsung selama empat hari itu tidak hanya mengiktiraf pencapaian jualan, malah menjadi platform untuk peserta mendalami perkembangan industri automotif, memahami kehendak pelanggan serta berkongsi pengalaman sebenar dari rangkaian pengedar Proton di seluruh negara.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Proton, Ong Chee Wooi berkata, perkembangan pesat teknologi automotif mengubah sepenuhnya tugas seorang perunding jualan.

“Hari ini pelanggan datang dengan maklumat yang lebih banyak dan pilihan yang lebih luas, khususnya apabila EV dan PHEV semakin menjadi pilihan pengguna.

“Sebab itu perunding jualan bukan sahaja perlu mahir mengenai produk, malah perlu menjadi penasihat yang diyakini pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, latihan berterusan, pendedahan kepada teknologi baharu serta keupayaan berinteraksi dengan pelanggan melalui platform fizikal dan digital kini menjadi faktor penting untuk berjaya dalam kerjaya tersebut.

Penganjuran program ESA turut berlangsung ketika Proton terus memperluaskan portfolio produknya.

Dalam tempoh sembilan bulan lalu, syarikat berkenaan memperkenalkan lapan model baharu, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna Malaysia dan membuka ruang lebih luas kepada perunding jualan untuk memenuhi keperluan pelanggan daripada pelbagai segmen.

Sehingga akhir Mei 2026, PROTON merekodkan 84,294 unit jualan, bersamaan 26.7 peratus pegangan pasaran.

Model Proton Saga muncul kereta penumpang paling laris di Malaysia pada Mei, manakala Proton X50 mengekalkan kedudukannya sebagai SUV paling laris di negara ini.

Dalam segmen kenderaan elektrik, Proton e.MAS 5 kekal sebagai EV nombor satu negara dengan 9,357 unit jualan terkumpul tahun ini, manakala Proton e.MAS 7 PHEV mengungguli segmen hibrid plug-in dengan 2,936 unit diserahkan kepada pelanggan.

Perkembangan itu menjadikan kerjaya dalam bidang jualan automotif semakin mencabar dan bernilai kerana perunding jualan kini perlu menguasai teknologi ketersambungan, sistem bantuan pemandu, ciri keselamatan pintar serta aspek pemilikan EV dan PHEV.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, rangkaian pengedar adalah barisan hadapan syarikat yang memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pelanggan terhadap jenama Proton.

“Mereka bukan sekadar menjual kenderaan, tetapi membantu pelanggan membuat keputusan penting berkaitan keperluan mobiliti mereka.

“Melalui program Elite Sales Achiever, kami bukan sahaja menghargai prestasi cemerlang mereka, malah mahu menunjukkan bahawa industri jualan automotif menawarkan kerjaya stabil, berdaya saing dan mempunyai peluang pembangunan yang luas kepada mereka yang sanggup belajar serta menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, ketika industri automotif bergerak pantas ke arah elektrifikasi dan mobiliti pintar, pembangunan modal insan akan terus menjadi antara keutamaan Proton bagi memastikan rangkaian pengedarnya mampu memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin tinggi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here