
Kontrak penganjuran Perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilanjutkan lima tahun lagi hingga 2031, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata kontrak baharu yang berkuat kuasa bermula tahun depan itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara hab utama sukan permotoran dunia.
Kontrak semasa penganjuran MotoGP Malaysia ialah dari 2024 hingga penghujung tahun ini.
“Pembaharuan ini bukan sekadar lanjutan kepada sebuah acara sukan antarabangsa tetapi merupakan keputusan strategik kerajaan bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan dan berdaya saing sebagai hab sukan permotoran dunia,” katanya.
Mohammed Taufiq berkata lanjutan kontrak tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan ekosistem sukan permotoran negara, di samping menjana peluang ekonomi menerusi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
“MotoGP Malaysia merupakan aset dan pelaburan strategik negara yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kajian impak ekonomi menunjukkan penganjurannya pada 2024 telah menjana kira-kira RM694 juta impak ekonomi keseluruhan, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta menghasilkan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda kepada negara,” katanya.
Beliau berkata selain memberi impak positif kepada sektor pelancongan, penganjuran MotoGP Malaysia turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan, kepakaran teknikal dan penyertaan dalam industri sukan permotoran yang lebih meluas.
“Menerusi Malaysian Motorsport Development (MDEV), laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun telah membuahkan hasil dengan kemunculan pelumba seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa,” katanya.
MotoGP Malaysia mula dianjurkan pada 1991 di Litar Batu Tiga Shah Alam sebelum berpindah ke SIC pada 1999. Mohammed Taufiq berkata pelanjutan kontrak penganjuran MotoGP perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin pembangunan sukan permotoran negara, khususnya dalam melahirkan lebih ramai pelumba tempatan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Kita menyediakan pelbagai fasiliti di bawah SIC bagi memastikan pelumba negara mendapat latihan yang mencukupi. Kita akan memantau persiapan mereka dan memastikan tahap konsistensi dapat dikekalkan sepanjang tempoh lima tahun. Prestasi mereka tidak boleh bersifat pasang surut, sebaliknya perlu terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Kita juga berharap penganjuran MotoGP bukan sekadar memberi impak ketika beberapa hari perlumbaan berlangsung, sebaliknya menjadi pelaburan jangka panjang yang mampu melahirkan lebih ramai pelumba menerusi pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan sepanjang tempoh penganjurannya,” katanya.
































