
Perodua mengeksport model terbaharu syarikat iaitu Traz bersama MPV Alza ke Sri Lanka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata Sri Lanka kekal menjadi satu daripada pasaran eksport terbesar Perodua, dengan jualan lebih 20,000 unit sejak tahun 1997.
“Perodua kini mengeksport model siap dipasang sepenuhnya (CBU) ke enam negara iaitu Brunei, Fiji, Mauritius, Bangladesh, Papua New Guinea serta Sri Lanka.
“Kami juga merancang untuk mengeksport kenderaan Pre-Owned Vehicles kami dan setakat ini pasaranya semakin luas termasuklah ke Timor Leste tahun ini,” katanya.

Harga pengenalan khas Perodua Traz di Sri Lanka buat 50 pelanggan terawal iaitu RS 19,950,000 (RM243,090) dengan aksesori tambahan manakala tanpa aksesori adalah RS 19,200,000 (RM233,957.23).
Perodua Alza pula dijual pada harga RS19,950,000 (RM243,090) seunit yang mana sesemua harga adalah termasuk cukai.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan United Motors Lanka PLC, Mr Chanaka Yatawara berkata sejak sekatan import kenderaan dibatalkan pada 2025, syarikat berkenaan telah menjual hamper 3,000 unit kenderaan dan ia mencerminkan kepercayaan kuat pelanggan di Sri Lanka terhadap jenama Perodua.
“Dengan keupayaan pengeluaran Perodua yang telah terbukti serta rangkaian jualan serta servis Kumpulan United Motors, kami yakin Traz dan Alza akan terus meraih kepercayaan di kalangan keluarga serta pemilik perniagaan di Sri Lanka,” katanya.
































