
Perodua mengumumkan pengurangan harga bagi model kompak mampu milik, Axia dengan penjimatan sehingga RM4,700 berkuatkuasa serta merta.
Pengurangan harga itu dibuat berikutan peningkatan berterusan dalam kecekapan operasi syarikat selain usaha Perodua mengukuhkan komitmennya dalam membantu pelanggan menghadapi persekitaran ekonomi yang kian mencabar.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad, harga baharu ini adalah antara usaha berterusan syarikat untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.
“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan,” tambahnya.
Kesemua spesifikasi dan standard kualiti Perodua Axia kekal tidak berubah dan penjimatan yang diperoleh adalah sepenuhnya daripada penambahbaikan proses dan kecekapan operasi.
“Pengurangan harga yang dibuat ini adalah hasil daripada inisiatif penambahbaikan yang berterusan dan mampan serta kerjasama baik dengan pembekal dan rakan kongsi kami dalam ekosistem automotif.
“Kami berterima kasih kepada pembekal dan pengedar kami di atas kerjasama dalam menambah baik kecekapan kos untuk manfaat bersama bukan sahaja pemain industri tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.
Berikut senarai harga baharu Perodua Axia selepas potongan :































