Utama Berita Automotif Mitsubishi Triton takluk AXCR 2026, juara dua tahun berturut-turut!

Mitsubishi Triton takluk AXCR 2026, juara dua tahun berturut-turut!

10

Team Mitsubishi Ralliart menjuarai Asia Cross Country Rally (AXCR) 2026 yang berlangsung di Thailand dari 9 hingga 15 Ogos 2026, dengan Katsuhiko Taguchi dan Takahiro Yasui muncul juara keseluruhan.

Kemenangan ini meletakkan Team Mitsubishi Ralliart sebagai juara selama dua tahun berturut-turut.

Taguchi dan Yasui pula pasangan pemandu dan pemandu arah Jepun pertama memenangi AXCR secara keseluruhan.

Pasukan itu bertanding dengan tiga Triton Rally Car spesifikasi T1. Perlumbaan melibatkan jarak keseluruhan 2,145.19 km, termasuk 921.80 km Special Stage (SS).

Taguchi dan Yasui mencatat masa 12 jam 58 minit 20 saat, dengan kelebihan 2 minit 25 saat ke atas pencabar terdekat.

Taguchi bina kelebihan sejak Leg 3

Taguchi bermula di tempat ketiga keseluruhan pada Leg 1 selepas hujan lebat menyebabkan beberapa bahagian laluan dipenuhi air.

Pada Leg 3, dia mencatat masa SS terpantas dan mengambil alih pendahuluan keseluruhan. Ketika itu, mereka mempunyai kelebihan lapan saat.

Pasangan Taguchi/Yasui kemudian mengharungi perlumbaan dengan lebih berhati-hati dan membina kelebihan lebih daripada lima minit menjelang penghujung Leg 5.

Pada Leg 6, mereka mengelakkan risiko yang tidak perlu dan memanfaatkan kelebihan sehingga ke garisan penamat.

Koide bangkit selepas penalti

Kazuto Koide, yang menyertai AXCR buat kali ketiga, mengalami permulaan sukar selepas Triton dipandunya terperangkap dalam parit pada Leg 1 sehingga menerima penalti timeout.

Namun, dia bangkit pada peringkat seterusnya dan turut membantu Taguchi serta Yotha.

Koide mencatat masa SS kelapan terpantas pada SS5 dan menamatkan semua SS sebelum berada di tempat ke-27 keseluruhan, dengan masa 20 jam 58 minit 30 saat.

Yotha berdepan masalah tayar dan enjin

Juara bertahan Chayapon Yotha pula berdepan beberapa masalah sepanjang perlumbaan.

Pada Leg 2, dia mengalami tayar pancit ketika melalui laluan berbatu dan kehilangan masa untuk menukar tayar.

Pada Leg 3, Yotha bangkit dan berjaya naik ke tempat keenam keseluruhan.

Namun, masalah kembali muncul pada Leg 4 apabila bahagian kanan belakang Triton terkena sesuatu, menyebabkan dia terpaksa menukar tayar buat kali kedua.

Pada Leg 5 pula, Yotha berdepan masalah enjin.

Yotha akhirnya menamatkan rali di tempat ke-36 keseluruhan dengan masa 34 jam 48 minit 43 saat.

Dipendekkan akibat latihan ketenteraan

Perlumbaan AXCR 2026 bermula di Pattaya, sebelum melalui Prachin Buri, Nakhon Sawan dan Kamphaeng Phet, kemudian berakhir di Phitsanulok.

Pada Leg 2, jarak SS dipendekkan daripada 145.67 km kepada 67.32 km kerana terdapat latihan ketenteraan di kawasan laluan perlumbaan.

Tiga Triton, dua spesifikasi berbeza

Team Mitsubishi Ralliart membuat beberapa penambahbaikan pada Triton, termasuk mengubah kedudukan rangkaian kuasa untuk memperbaiki agihan berat depan-belakang.

Suspensi turut ditala semula bagi meningkatkan sentuhan keempat-empat tayar dengan permukaan, sekali gus memperbaiki kestabilan stereng dan prestasi ketika mengambil selekoh.

Respons enjin pada julat kelajuan rendah hingga sederhana juga diperhalusi.

Menurut Koide, peningkatan tork rpm rendah dan kawalan pertukaran gear menjadikan Triton lebih mudah dikawal dalam bahagian stop-and-go, selain kekal berprestasi baik di laluan berkelajuan tinggi.

Ketiga-tiga pasangan pemandu menggunakan Triton Rally dengan enjin 4N16 2,439 cc turbodiesel namun terdapat perbezaan penting antara dua konfigurasi yang digunakan.

Triton Taguchi/Yasui dan Yotha/Sombutwong:

  • Panjang x lebar: 4,920 x 1,995 mm
  • Jarak roda: 3,130 mm
  • Trek: 1,730 mm
  • Kuasa: 160 kW atau lebih, sekitar 218 PS
  • Tork: 500 Nm atau lebih
  • Transmisi: Sequential enam kelajuan
  • Pacuan: 4WD sepenuh masa
  • Diferensial: CUSCO LSD depan dan belakang
  • Suspensi: Independent double-wishbone depan dan rigid/4-link belakang
  • Penyerap hentak: CUSCO boleh laras, twin damper
  • Brek: Cakera dengan kaliper monoblock ENDLESS 
  • Roda: WORK CRAG T-GRABIC II MC, 17 x 7J
  • Tayar: YOKOHAMA GEOLANDAR M/T G003, 245/75R17
  • Panel gentian karbon: Bonet, fender depan, pintu depan dan belakang serta panel luar ruang kargo

Triton Koide/Chiba pula menggunakan konfigurasi berbeza:

  • Panjang x lebar: 5,070 x 1,865 mm
  • Trek: 1,570 mm
  • Transmisi: Automatik enam kelajuan
  • Pacuan: Super Select 4WD-II
  • Panel gentian karbon: Bonet, pintu belakang dan panel luar ruang kargo

Keputusan AXCR 2026

  1. Katsuhiko Taguchi / Takahiro Yasui: 12 jam 58 minit 20 saat

27. Kazuto Koide / Eiji Chiba: 20 jam 58 minit 30 saat

36. Chayapon Yotha / Peerapon Sombutwong: 34 jam 48 minit 43 saat

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here