Utama Berita Automotif Mitsubishi eK X EV 2026 – rupa depan futuristik, jarak 180 km,...

Mitsubishi eK X EV 2026 – rupa depan futuristik, jarak 180 km, harga mula RM63 ribu sahaja

8

Mitsubishi Motors memperkenalkan Mitsubishi eK X EV 2026, yang akan mula dijual di Jepun bermula 25 Jun 2026.

Model 2026 menerima beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan daya tarikan sebagai sebuah EV, termasuk reka bentuk luaran, ciri kemudahan tambahan serta peningkatan kelengkapan standard.

Di Jepun, harga jualan bermula dari 2,446,400 yen hingga 3,214,200 yen, bersamaan kira-kira RM62,800 hingga RM82,600.

Selain itu, eK X EV turut layak menerima subsidi Program Promosi Pengenalan Kenderaan Tenaga Bersih Jepun sebanyak 574,000 yen (sekitar RM14,700).

Harga efektif selepas subsidi bermula sekitar 1.87 juta yen atau kira-kira RM48,100.

Reka Bentuk Lebih Moden dan Seragam

Dari sudut reka bentuk, Mitsubishi memberi nafas baharu kepada eK X EV dengan gabungan imej mesra alam dan mudah didekati, sambil mengekalkan identiti futuristik yang sinonim dengan EV.

Bahagian hadapan kini tampil dengan bentuk yang kemas, manakala kemasan gerbang roda serta pelindung sisi bawah badan dicat dalam warna yang sama dengan badan untuk penampilan lebih lembut dan seragam.

Gril hadapan turut dilengkapi pencahayaan LED yang memberikan imej lebih moden dan canggih.

Mitsubishi juga memperluaskan pilihan warna dengan penambahan lima warna dua tona baharu dan dua warna tunggal baharu, menjadikan keseluruhan pilihan warna meningkat kepada 11 warna.

Soket Kuasa 1,500W Untuk Pelbagai Kegunaan

Selain perubahan kosmetik, eK X EV menawarkan tahap praktikaliti lebih tinggi menerusi penambahan soket aksesori AC 100V berkapasiti maksimum 1,500W di bahagian bawah panel instrumen.

Ciri tersebut membolehkan tenaga yang disimpan dalam bateri pacuan digunakan untuk membekalkan kuasa kepada pelbagai peralatan elektrik domestik.

Pengguna boleh memanfaatkannya untuk kegunaan harian, aktiviti luar mahupun ketika kecemasan seperti gangguan bekalan elektrik.

Lebih Banyak Port USB dan Ciri Keselesaan

Varian P pula menerima tambahan dua port pengecas USB Type-C dan satu port USB Type-A pada panel instrumen.

Bagi varian G dan G Business Package, satu port USB Type-C disediakan sebagai kelengkapan standard.

Dari aspek keselesaan, pemanas stereng dan pemanas kusyen tempat duduk hadapan yang sebelum ini hanya ditawarkan pada varian P kini turut menjadi kelengkapan standard bagi varian G.

Mitsubishi turut menambah sistem peringatan tempat duduk belakang.

Sistem akan memaklumkan pemandu sekiranya terdapat kemungkinan penumpang atau barangan masih tertinggal di tempat duduk belakang apabila pemandu keluar dari kenderaan.

Bateri 20kWj, Motor 63hp Dan Jarak Pemanduan 180km

Walaupun menerima beberapa penambahbaikan, spesifikasi asas sistem elektrik kekal sama.

eK X EV menggunakan bateri litium-ion berkapasiti 20kWj dengan voltan keseluruhan 350V, dipadankan dengan motor elektrik jenis segerak AC yang menghasilkan kuasa maksimum 47kW (63hp) dan tork 195Nm.

Jarak pemanduan kekal pada 180km mengikut kitaran WLTC Jepun, manakala penggunaan tenaga direkodkan pada 124Wj/km.

eK X EV dibangunkan untuk kegunaan harian dengan jarak pemanduan yang mencukupi untuk majoriti pengguna kereta kei dan kompak di Jepun, di mana sekitar 80 peratus pengguna memandu kurang daripada 50km sehari.

Dengan penggunaan biasa, kebanyakan pemilik dijangka hanya perlu mengecas kenderaan setiap dua hari sekali.

Harga Di Jepun

Bagi pasaran Jepun, eK X EV ditawarkan dalam tiga varian iaitu:

  • P – 3,214,200 yen (RM82,600)
  • G – 2,662,000 yen (RM68,400)
  • G Business Package – 2,446,400 yen (RM62,800)

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here