
Bermaz Xpeng mengumumkan kempen panggilan semula secara sukarela untuk model Xpeng X9 di Malaysia berikutan potensi isu pada sistem suspensi udara hadapan.
Langkah ini selaras dengan panggilan semula dilaksanakan di China untuk unit X9 yang dikeluarkan sebelum 11 Ogos 2025.
Berdasarkan laporan Reuters pada Julai lalu, panggilan semula global melibatkan 33,473 unit Xpeng X9 yang dihasilkan antara 8 Ogos 2023 hingga 11 Ogos 2025.

Isu teknikal tersebut melibatkan gegelung udara hadapan yang didapati mempunyai tahap kekedapan udara lebih rendah daripada spesifikasi.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan kebocoran udara secara beransur-ansur apabila digunakan secara berterusan dalam situasi cuaca panas dan lembap.
“Keadaan ini boleh mencetuskan amaran kerosakan sistem. Dalam situasi ekstrem, ia berpotensi menjejaskan pengendalian kenderaan,” menurut kenyataan Xpeng.
Semua unit X9 yang disahkan terjejas di Malaysia akan menerima pemasangan gegelung udara hadapan gantian sepenuhnya.
Pembaikan tersebut akan dilakukan tanpa sebarang caj kepada pemilik.
Sebagai jaminan tambahan, sistem suspensi udara hadapan yang diganti akan diberikan lanjutan tempoh perlindungan sehingga 8 tahun atau 160,000 km, mengikut mana yang terdahulu.
Tempoh jaminan itu dikira bermula dari tarikh pendaftaran kenderaan dan boleh dipindah kepada pemilik seterusnya.
Bermaz Xpeng memaklumkan syarikat itu kini bekerjasama rapat dengan rakan serantau dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan bekalan alat ganti, prosedur teknikal dan kapasiti pusat servis mencukupi untuk menampung kempen ini.
Syarikat turut menjelaskan kenderaan daripada kelompok pengeluaran lain, termasuk model X9 facelift, tidak terjejas oleh isu ini.
Jumlah sebenar unit X9 lama yang terlibat di pasaran Malaysia bagaimanapun masih belum dimaklumkan.

Pemilik Xpeng X9 yang terbabit akan dihubungi secara terus.
Bagi sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan Xpeng Malaysia di +603 7627 3883.
Tempahan temu janji untuk pemeriksaan dan pembaikan juga boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih Xpeng di pusat servis sah yang terdekat.
































