
Seramai 65 penunggang motosikal Honda bersama warga kerja Boon Siew Honda Sdn Bhd meluangkan masa membersihkan Pantai Kuala Muda, Pulau Pinang menerusi program CSR, Ride to Reach.
Program hujung minggu lalu itu dimulakan dengan pelepasan konvoi dari ibu pejabat Boon Siew Honda di Batu Kawan, sebelum peserta menunggang beramai-ramai ke lokasi berkenaan.
Sepanjang aktiviti, para sukarelawan bertungkus-lumus mengutip dan mengasingkan sampah di sepanjang pantai itu.
Pemilihan Pantai Kuala Muda dibuat kerana kepentingannya kepada komuniti nelayan dan peniaga tempatan.
“Falsafah Honda bukan sekadar sesuatu yang saya amalkan di tempat kerja, ia adalah sesuatu yang saya hidupkan,” kata Ketua Pegawai Pentadbiran merangkap Pengerusi Ride to Reach, Rosidan Haron.
“Hari ini kami membuktikan apabila kita menunggang bersama dengan tujuan dan objektif yang jelas, kita dapat meninggalkan jejak yang lebih bersih dan hijau, serta membawa kebahagiaan kepada masyarakat,” tambahnya.
Selain pembersihan, program itu turut menjadi platform interaksi antara warga kerja Honda dengan komuniti setempat.
Kehadiran para sukarelawan disambut mesra nelayan dan pengunjung yang berada di pantai itu.
Sejak dilancarkan pada Mei 2025, Ride to Reach telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah, bantuan banjir dan servis motosikal percuma di Perak.
Program diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan bersama komuniti setempat.
Boon Siew Honda komited untuk meneruskan inisiatif Ride to Reach sebagai usaha berterusan syarikat dalam menjaga alam sekitar dan menyokong komuniti.
Untuk maklumat lanjut, layari http://www.boonsiewhonda.com.my.
































