
Selepas enam tahun menyepi, Boon Siew Honda (BSH) secara rasmi melancarkan Honda PCX160 serba baharu untuk pasaran Malaysia.
Model skuter premium popular itu kembali dengan rekaan lebih matang dan sofistikated, selain buat pertama kalinya dilengkapi teknologi ketersambungan Honda RoadSync untuk kegunaan harian di bandar.
Menurut Boon Siew Honda, PCX160 serba baharu mengekalkan identiti elegan model itu namun diterjemahkan dalam gaya lebih kontemporari dan premium, sesuai untuk penunggang yang mementingkan gaya dan fungsi.
Selepas diperkenalkan pada ADV160 awal tahun ini, PCX160 kini menjadi model kedua dalam segmen skuter kecil yang menawarkan teknologi Honda RoadSync.
Melalui paparan meter TFT bersaiz 5-inci, penunggang boleh mengakses navigasi, panggilan telefon, muzik serta notifikasi mesej terus dari panel meter ketika menunggang.
Keyakinan tunggangan turut dipertingkatkan menerusi teknologi Honda Selectable Torque Control dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) – ciri yang kebiasaannya terdapat pada motosikal berkapasiti besar.
Dari segi praktikaliti, PCX160 menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk (U-Box) berkapasiti 30 liter yang mampu memuatkan beg komputer riba, baju hujan dan barangan keperluan harian, sesuai dengan cuaca Malaysia yang tidak menentu.
Ia turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan penggunaan bahan api serendah 2.3 liter bagi setiap 100km. Dengan tangki 8.1 liter, skuter ini mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 350km dengan sekali isian penuh.
Ciri lain termasuk:
- suspensi belakang sub-tank
- papan pemijak kaki yang selesa
- Sistem Kunci Pintar Honda
- suis pelbagai fungsi
- port pengecas USB Type-C
- lampu LED penuh

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano berkata, pelancaran ini merupakan jawapan kepada penantian panjang peminat PCX di Malaysia.
“Kami tahu ramai yang telah lama menunggu kepulangan PCX. Penunggang hari ini bergerak dalam persekitaran yang semakin sibuk dan sentiasa berhubung.
“PCX160 serba baharu adalah jawapan kami – menawarkan teknologi, praktikaliti dan keyakinan tanpa menghilangkan karakter elegan PCX,” katanya.
Honda PCX160 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Grey dan White pada harga jualan disyorkan RM12,998 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).
Model ini akan mula berada di pasaran di semua cawangan Honda Impian X dan pengedar sah Honda bermula 14 Oktober 2026.
Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km, yang mana terdahulu.
Sebagai tawaran istimewa, pelanggan yang melakukan tukar beli daripada PCX150 kepada PCX160 baharu layak menerima jaminan lanjutan eksklusif selama setahun di bawah program Honda X-Tend Warranty.
Tawaran ini sah sehingga 31 Disember 2026 melalui Honda Impian X, pengedar sah terpilih dan pusat pemeriksaan iMotorbike.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web BSH atau kunjungi pengedar Honda Impian X berdekatan.
Galeri Honda PCX160




