
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak berkompromi terhadap warga asing yang memandu mahupun menunggang kenderaan tanpa dokumen pemanduan sah.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya sentiasa konsisten menjalankan operasi bagi mengekang golongan itu.
“Saya sudah mengarahkan Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan untuk meningkatkan usaha mengekang pemandu warga asing yang tiada dokumen (pemanduan) berada di jalan raya.
“Tindakan yang akan diambil tidak hanya terhad kepada pemandu tersebut tetapi juga terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan kenderaan mereka digunakan warga asing,” katanya pada Isnin.
Tambah beliau, pihaknya mempunyai pelan tindakan penguatkuasaan tahunan yang dibangunkan setiap tahun berdasarkan beberapa faktor termasuk prosedur operasi standard (SOP).

“Kita ada banyak operasi yang dilaksanakan secara berfokus dan bersasar. Antaranya adalah Operasi Warga Asing (Op PEWA).
“Ini kerana, JPJ mahu sentiasa memartabatkan undang-undang jalan raya dengan sesiapa yang salah (melanggar peraturan) akan diambil tindakan,” katanya.
Mengulas mengenai antara kenderaan yang kerap digunakan pemandu warga asing iaitu motosikal roda tiga, beliau berkata tiada operasi khusus bagi jenis kenderaan itu.
“Di Malaysia, jumlah motosikal tiga roda tidak banyak. Apabila jumpa kenderaan ini, kami sita. Kami tahu modus operandi mereka (yang menunggang motosikal itu) dan maklumat pemilik kenderaan itu.
“Pada masa sama, tindakan penguatkuasaan sentiasa diambil bagi memastikan mereka tidak berada di atas jalan raya,” katanya.





























