
Jenama penala terkenal dari Jepun yang dikhususkan untuk kenderaan Toyota, Grow Design kini memasuki pasaran Malaysia secara rasmi menerusi pengedar eksklusifnya, Wing Hin Motorsport.
Langkah itu sekali gus membuka laluan kepada Wing Hin Motorsport untuk memperluaskan lagi portfolionya sebagai pengedar rasmi peralatan prestasi Toyota, selepas GR Parts, TRD dan Modelista.
Wing Hin turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Grow Design Japan bagi menubuhkan Grow International untuk memasarkan peralatan prestasi jenama itu ke pasaran global.

Grow Design diasaskan pada tahun 2008 oleh jurutera penguji Toyota Gazoo Racing, Masahiro Sasaki, yang terlibat secara langsung dalam pembangunan model prestasi seperti Toyota GR Yaris dan GR86.
Selain tugas sebagai jurutera, Sasaki turut aktif berlumba dalam siri perlumbaan Super Taikyu di Jepun bersama pasukan ORC Rookie Racing, pasukan sama yang disertai Pengerusi Toyota, Akio Toyoda yang juga GR Master Driver dengan nama alter ego Morizo.
Menurut Sasaki, setiap kelengkapan ditawarkan Grow Design direka untuk meningkatkan aspek penampilan, pengendalian dan prestasi, tanpa mengubah karakter asal jentera berkenaan.

Jenama itu menghasilkan kit aero dan peralatan prestasi untuk semua model GR yang masih ditawarkan di pasaran ketika ini iaitu GR Yaris, GR Corolla dan GR86, termasuk model kembar GR86 iaitu Subaru BRZ.
Kit aero ditawarkan adalah lengkap merangkumi :
- spoiler bawah bampar hadapan
- diffuser bawah skirt sisi
- diffuser bawah bampar belakang serta spoiler belakang – kesemuanya diperbuat daripada material gentian karbon ringan
Selain itu, Grow Design turut menghasilkan spring sport bersama kit pelaras ketinggian dengan kerjasama HAL Spring Japan, sistem ekzos yang dibangunkan bersama jenama ekzos terkenal Jepun, Fujitsubo, serta tempat duduk bucket karbon yang dibina bersama pengeluar tempat duduk perlumbaan terkemuka, Bride.

Bukan sekadar model prestasi GR, Grow Design juga menawarkan kit aero dan sistem suspensi selesa untuk model mewah Toyota seperti MPV Alphard dan Vellfire serta SUV Crown Sport.
Pelancaran jenama itu diadakan di MAEPS Serdang sempena Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung bermula hari ini sehingga 4 Oktober.
Pada majlis pelancaran, Wing Hin turut mempertontonkan kereta demonstrasi Grow Design iaitu Toyota GR Corolla Morizo Edition dilengkapi kit aero penuh, spring sport, sistem ekzos dan tempat duduk hadapan keluaran jenama tersebut.




