Azlan tidak terjejas dengan kontroversi West

1056

Azlan Shah Kamaruzaman tidak menghiraukan kontroversi yang melanda pencabar utama SuperSports 600cc, Anthony West. Sebaliknya dia tetap fokus dalam meraih kemenangan pada perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC).

Perlumbaan itu bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sentul di Indonesia, 12 hingga 14 Oktober ini.



Kontroversi yang dikatakan itu melibatkan pelumba Australia yang digantung oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM). Pelumba itu digantung kerana berkait dengan isu ujian bahan terlarang yang akan menjejaskan aksi pendahulu keseluruhan itu pada minggu ini.

Menurut Azlan, dia ada membaca mengenai isu tersebut namun tidak dapat dipastikan sejauh mana penggantungan ke atas pelumba itu akan mula berkuatkuasa.

“Lagipun, jika benar dia digantung dan tidak boleh beraksi, saya tidak pasti adakah hukuman yang akan diterimanya akan menjejaskan jumlah kutipan mata yang dipungutnya. Apa yang penting kepada saya pada minggu ini adalah hanya fokus kepada perlumbaan dan cuba untuk memenangi kedua-dua perlumbaan,” jelas pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu.

“Perlumbaan minggu ini sangat penting kepada saya. Ini adalah peluang terbaik untuk merapatkan jurang pungutan mata ketika ini. Selain mendapat sokongan penyokong di Malaysia, sokongan penyokong tuan rumah kepada pasukan ini juga pasti meningkatkan semangat saya untuk menang minggu ini.”

Juara bertahan itu kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 85 mata selepas empat pusingan. Manakala West pula di tangga teratas dengan 136 mata.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here