Toyota Rush baharu dilancarkan di pasaran Malaysia

4454

Toyota Rush serba baharu dari generasi kedua model kereta utiliti sukan (SUV) diperkenalkan UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT). Rush baharu dengan tujuh-tempat duduk dibina khusus untuk pasaran Asean. Sudah 10 tahun berada di pasaran Malaysia, Rush model terdahulu telah terjual sebanyak 18,000 unit setakat ini di Malaysia.

Jentera generasi kedua yang serba baru ini masih mengekalkan imej SUV urban yang mengetengahkan ciri Rugged-Active Lifestyle.

Model baharu ini hadir dengan dua varian iaitu Rush versi 1.5G dan 1.5S. Harga anggaran bagi Toyota Rush bagi varian S ialah RM98,000 dan RM93,000 bagi varian G.



Toyota Rush memperkenalkan 360-T yang berkaitan dengan Trust and Technology dari Toyota yang bakal diterapkan pada model-model akan datang. Ia menawarkan pakej inovasi lengkap yang direka untuk melindungi dan memberi kelebihan kepada pengguna ketika berada di atas jalan.

360-T terdiri daripada tiga elemen iaitu Safe-T Plus, Connectivi-T dan Guaran-T. Safe-T Plus hadir dengan ciri-ciri dan sistem keselamatan terkini sebagai standard. Connectivi-T yang menawarkan teknologi terbaru untuk perhubungan, hiburan dan keselamatan. Manakala Guaran-T untuk kelegaan fikiran sepenuhnya sepanjang tempoh pemilikan kenderaan oleh pelanggan.

Jentera ini dikuasakan dengan enjin 1.5 liter DOHC 16-injap baru dari Toyota. Ia mempunyai janaan maksimum 105 PS pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Kereta utiliti sukan ini menggunakan sistem transmisi automatik empat-kelajuan berserta dengan sistem Automatic Stop-Start yang terbukti berkesan dan cekap.

Toyota Rush diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV)

Kadar penggunaan minyaknya kini lebih baik dan mampu mencapai 15.6 km per liter. Ini melayakkannya untuk diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) di bawah Dasar Automotif Nasional ketika ini.

Seperti model terdahulu, Toyota Rush terus menggunakan sistem pacuan roda belakang. Sistem ini memberi kelebihan kepada jentera ini untuk digunakan pada permukaan jalan pelbagai. Ia juga menawarkan cengkaman lebih mantap ketika mendaki dan juga untuk membawa bebanan berat.

Ciri istimewa lain yang turut ditawarkan pada Rush baharu ini ialah Electric Power Steering (EPS). Ia menyumbang kepada bacaan penggunaan minyak yang lebih baik. Selain itu, tayar yang digunakan juga bersaiz diameter yang lebih besar dalam kelasnya dan memiliki kemampuan radius pusingan pada jarak 5.2 meter.

Imej terkini pada Toyota Rush serba baru ini juga telah ditingkatkan untuk membawa penampilan premium yang dilengkapkan lagi dengan ciri-ciri nilai tambah, menjadikannya sebagai pilihan yang lebih berbaloi.

Penggayaan Rush serba baru ini mempunyai imej dan garis badan yang lebih tajam, dikenali sebagai “R-BLADE”. ia digelar R-Blade kerana R merujuk kepada Toyota Rush, manakala “blade” pula merujuk kepada unsur logam yang tajam. Warna dwi-tona yang digunakan sebagai tema juga memberikan kesan visual yang berlainan.

Reka bentuk dalaman

Reka bentuk tempat duduknya pula ialah 2-3-2. tempat duduk baris ketiga pula boleh diakses dengan tombol satu sentuhan untuk melipat tempat duduk baris kedua. Ruang kargo pula berkapasiti 217 liter dan dapat dipertingkatkan sehingga 514 liter dengan melipat tempat duduk belakang. Landasan pada bumbung juga boleh digunakan sekiranya ingin membawa barangan panjang yang tidak melebihi berat 50 kg.

Bagi ciri infotainment pula, jentera ini dilengkapi dengan Sistem audio DVD-AVX bersama skrin sentuh 6.8-inci. Ia boleh digunakan sebagai sambungan atau lanjutan paparan kepada telefon pintar yang serasi.

Ciri-ciri standard lain terdiri antaranya daripada 13 ruang untuk cawan, Multi-Info Display, Panoramic View Monitor (PVM) untuk pandangan 360-darjah dari atas dan Digital Video Recorder (DVR). Toyota AutoTag juga boleh dipasang bagi memudahkan pembayaran elektronik di plaza tol. Sementara itu, sistem Smart Entry membolehkan pengguna mengunci atau membukanya melalui sentuhan pada pemegang pintu.

Ciri keselamatan

Selain daripada ciri-ciri istimewa itu, Toyota juga mengutamakan faktor keselamatan pada jentera yang dibinanya. Sistem keselamatan aktif telah dibangunkan bagi membantu pemandu mengelak kemalangan. Toyota Rush serba baru mendapat penarafan ASEAN NCAP lima-bintang (bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa dan Kanak-kanak) dengan gandingan antara sistem keselamatan termaju serta kejuruteraan bantuan komputer.

Ciri keselamatan aktif lain yang melengkapi model ini yang ditawarkan sebagai penawaran standard ialah Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Sistem BSM dapat membantu pemandu untuk lebih peka terhadap kenderaan lain yang berada pada titik buta. Sistem ini juga dapat mengurangkan risiko pelanggaran. Manakala RCTA pula memberi amaran kepada pemandu terhadap kenderaan lain ketika ingin mengundurkan kenderaan.

Pre-Collision System (PCS) juga merupakan ciri terbaru pada Rush yang membantu mengurangkan kemalangan dalam kelajuan yang rendah dan sederhana. Namun ciri ini hanya terdapat pada varian Rush 1.5S.

Sistem berkenaan menggunakan kamera stereo dan mempunyai empat ciri khusus iaitu amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, Front Departure Alert serta Pedal Misoperation Control. Ia direka sebagai sistem bantuan, namun ia masih mengutamakan input daripada pemandu yang boleh mengawal fungsinya pada bila-bila masa.

Toyota Rush serba baru didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. UMWT menjangka akan menjual sebanyak 3,600 unit model ini pada 2019. Toyota Rush serba baru ini hadir dalam lima pilihan warna yang menarik membabitkan warna White, Silver Metallic, Dark Gray Metallic, Blue Metallic dan Dark Green Metallic.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here